Pengurusan media: Jangan sampai MB Johor digelar MB Facebook

Untuk rekod, setakat ini hanya tujuh sidang akhbar dilakukan Onn Hafiz sejak mengangkat sumpah. Itu pun tiga daripadanya merupakan sidang akhbar tanpa sesi soal jawab.

0
47

Oleh RAHIMI MOHAMAD

MENJADI pemimpin memang bukan tugas mudah, sesiapa pun akan ‘cuba elak’ jika ada pilihan. Tetapi rencana dan takdir Allah SWT menentukan segalanya termasuk dalam isu pelantikan Menteri Besar Johor ke-19.

Rezeki itu sudah tertulis untuk Datuk Onn Hafiz Ghazi yang kini menggalas tanggungjawab besar mengetuai pentadbiran Kerajaan Negeri Johor sejak 15 Mac lalu iaitu selepas dua tahun hanya sebagai Exco menguruskan portfolio Pelancongan, Belia dan Sukan.

Tidak sama seperti semasa menjadi Exco yang mungkin Onn Hafiz cekap dengan hal ehwal ditadbirnya, tetapi sebagai Menteri Besar semua selok belok dan urusan negeri perlu ada dalam tangannya agar mudah untuk berhadapan rakyat, pembangkang dan ‘rakan media’.

Beliau mungkin boleh dikira sebagai jaguh dalam menyalurkan maklumat, berkongsi aktiviti dan pengumuman tertentu kerana pantas memuat naik perkara-perkara itu dalam Facebooknya setiap masa setelah selesai sesuatu program atau lawatan dihadiri.

Dalam hal ini, nampak seperti Onn Hafiz dan pasukannya telah ‘memudahkan’ tugas wartawan kerana tidak perlu bersusah payah mengejarnya di program atau menghubungi beliau melalui telefon bagi mendapatkan komen.

Tetapi sayang beribu-ribu kali sayang, langkah itu tidak banyak membantu pun ‘rakan media’ yang mahu membantu beliau pula kerana apa yang dikongsikan tidak ubah seperti kad laporan harian seorang wakil rakyat.

Tiada isi penting dan kadang kala memeningkan kepala wartawan untuk mencari ‘point’ yang sesuai bagi dijadikan bahan berita sehingga kerap kali terpaksa diabaikan kerana tiada nilai berita.

Mungkin ini kesannya apabila beliau jarang mahu bertemu dan berkomunikasi dengan ‘rakan media’ secara dua hala sehingga tidak pasti apa sebenarnya bahan diperlukan untuk penulisan berita yang boleh membantu pentadbiran beliau di Johor.

Johor pula bukan negeri yang biasa-biasa, bersempadan pun dengan negara maju, Singapura yang pastinya setiap apa diperkatakan beliau akan menjadi perhatian republik itu berdasarkan hubungan erat Johor-Singapura sejak dahulu kala.

Sekiranya Onn Hafiz berterusan ‘menjauhkan’ diri daripada media, tiada apa yang dapat dibantu. Untuk rekod, setakat ini hanya tujuh sidang akhbar dilakukan beliau sejak mengangkat sumpah.

Itu pun tiga daripadanya merupakan sidang akhbar tanpa sesi soal jawab iaitu kehadiran wartawan hanya untuk mendengar apa yang mahu dikatakan beliau dan bakinya hanya boleh tanya hal berkaitan program sahaja, tiada soalan tambahan.

Media sebenarnya faham beliau masih baharu sebagai Menteri Besar tetapi dari situlah sebenarnya permulaan untuk membentuk keyakinan beliau berhadapan dengan wartawan yang kadang jadi kawan, ada masa jadi lawan. Apa yang penting kena yakin dan bijak menjawab.

Dalam hal ini, rasanya elok juga Onn Hafiz merujuk kepada bapa saudaranya, Datuk Seri Hishammuddin Hussein yang amat mesra media tanpa perlu berlari dan mengelak jika mahu disoal.

Cara Hishammuddin menjawab setiap pertanyaan yang diajukan kepadanya sentiasa tenang, tidak takut dan sesuai dengan keadaan. Rasanya ramai masih ingat sekitar 2014 bagaimana Ahli Parlimen Sembrong itu mengendalikan sidang akhbar berkaitan pesawat Malaysia Airlines, MH370.

Ketika itu beliau Menteri Pertahanan dan memangku tugas Menteri Pengangkutan, setiap hari bukan setakat rakyat Malaysia yang menonton sidang akhbar secara langsung tetapi seluruh dunia melihat Hishammuddin menyampaikan maklumat terkini untuk diketahui umum.

Soalan-soalan yang ditanya media antarabangsa pula bukan calang-calang, tetapi Hishammuddin tidak berganjak atau memilih untuk memuat naik kenyataan di Facebook sahaja. Raut wajah beliau sentiasa tenang dan meyakinkan mereka yang menonton.

Maka, Onn Hafiz sewajarnya mencontohi Hishammuddin kerana dalam Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor nanti pula, beliau akan berdepan pula dengan wakil rakyat pembangkang yang jauh lebih berpengalaman.

Malah, tak salah rasanya jika beliau mencontohi sikap pendahulunya, Datuk Seri Hasni Mohammad yang ada hubungan baik dan erat dengan media, tidak pernah tiada sidang akhbar kecuali dalam hal-hal tertentu dan sentiasa menyapa rakan media ketika di mana-mana program.

Walaupun Barisan Nasional (BN) ada kedudukan selesa dengan 40 daripada 56 kerusi, tetapi Onn Hafiz kena ingat Ketua Pembangkang nanti ialah Liew Chin Tong yang bergandingan pula dengan Datuk Seri Salahuddin Ayub selain wakil-wakil rakyat ‘junior’ yang petah berhujah seperti Marina Ibrahim, Amira Aisya Abd. Aziz dan lain-lain.

Tidak perlu takut berhadapan media, tidak perlu bimbang dikritik dengan apa yang akan diperkatakan kerana seorang pemimpin yang berkaliber perlu berani menghadapi semua itu, sama seperti beliau mengkritik Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dahulu.

Jadi, sudah pasti Onn Hafiz sudah tahu selok-belok atau cara menjawab serta membalas hujah agar tidak lagi beliau selepas ini terus diberi gelaran MB FB (Menteri Besar Facebook).

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here