SEORANG tertuduh untuk kes penemuan mayat wanita di Bukit Putus dan penemuan rangka kanak-kanak berusia lima tahun di Jalan Bukit Zamrud, Seremban, Negeri Sembilan menukar pengakuan tidak bersalah bagi pertuduhan menyebabkan kecederaan parah ke atas seorang wanita, Siti Syarifah Aibiddin.
Harian Metro melaporkan, tertuduh, Khalid Redza Shuib, 41, membuat pengakuan itu di hadapan Majistret Mohd. Firdaus Saleh di Mahkamah Majistret Seremban selepas pertuduhan dibacakan kali kedua pada prosiding sebutan semula, hari ini.
Mengikut fakta kes, pada 23 Mac lalu, doktor di Hospital Tuanku Jaafar (HTJ) yang melakukan pemeriksaan terhadap mangsa mendapati dia mengalami luka melecur baru dan lama di seluruh badan seperti ditekap objek panas selain patah tulang femur sebelah kanan dan luka kecil di muka.
Perbuatan itu didakwa mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan yang sabit kesalahan boleh dihukum penjara tujuh tahun dan denda.
Khalid pada 13 Mei lalu dilaporkan mengaku bersalah menyebabkan kecederaan parah ke atas Siti Syarifah, 35, yang dilakukan di sebuah rumah di Taman Nee Yan, Seremban antara 1 Disember 2021 hingga 23 Mac 2022.
Terdahulu, Siti Syarifah dilihat hadir ke mahkamah kira-kira jam 10 pagi dengan berkerusi roda sambil diiringi bapanya dan pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
Siti Syarifah sepatutnya memberikan kenyataan impak dan mahkamah seterusnya menjatuhkan hukuman terhadap tertuduh, namun tidak dapat berbuat demikian selepas tertuduh membuat pengakuan tidak bersalah.
Tertuduh tidak diwakili peguam manakala peguam Datuk Hanif Hassan mewakili keluarga Siti Syarifah.
Hanif berkata, sepatutnya mangsa hadir ke mahkamah hari ini untuk mengemukakan kenyataan impak dengan kerelaannya sendiri.
“Nampak semangat mangsa yang tinggi (untuk hadir) dan kini dia dijaga oleh keluarga,” katanya ketika ditemui di luar kamar mahkamah, hari ini.
Mahkamah menetapkan sebutan semula pada 17 Mei depan bagi serahan dokumen dan lantikan peguam serta tidak menawarkan sebarang jaminan terhadap tertuduh.
Media pada 13 April lalu melaporkan Khalid dan anaknya yang berusia 18 tahun dihadapkan ke Mahkamah Majistret Seremban, atas pertuduhan membunuh seorang kanak-kanak perempuan berusia lima tahun.
Menurut pertuduhan, mereka secara bersama-sama pada 3 Mac 2022 kira-kira 7 malam di sebuah rumah di Taman Nee Yan menyebabkan kematian Hanan Hasrul Izwan, 5.
Khalid Redza turut didakwa membunuh Meriammah Abdullah Basam, 29, pada tarikh antara 15 hingga 17 Mac 2022 di lokasi sama namun tiada pengakuan direkodkan bagi kedua-dua pertuduhan berkenaan.
Media sebelum ini melaporkan polis menemukan rangka milik kanak-kanak perempuan di Jalan Bukit Zamrud, 7 April lalu selepas operasi pencarian dilakukan sejak 28 Mac lalu.
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.