Jakim perjelas isu penularan tarikh Hari Raya Aidilfitri

0
270

JABATAN Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) menasihatkan semua pihak supaya menghormati proses penentuan rasmi tarikh Hari Raya di negara ini.

Memetik laporan Astro Awani , Ketua Pengarah Jakim, Datuk Hakimah Mohd Yusoff berkata proses tersebut telah dilaksanakan sejak sekian lama dan menyerahkan tanggungjawab tersebut kepada pihak berautoriti.

Jelasnya, Malaysia menggunakan kaedah Rukyah dan Hisab dalam menentukan awal bulan hijri termasuk tarikh awal puasa, Hari Raya Aidil Fitri dan Hari Raya Aidil Adha selaras dengan kehendak syarak dan mengikut kaedah ilmu falak serta astronomi yang telah dipersetujui semua negeri.

“Berkaitan penentuan awal Syawal 1443H atau tarikh Hari Raya Aidil Fitri pada tahun ini, aktiviti cerapan rasmi di seluruh negeri di Malaysia akan dilaksanakan di 29 lokasi pada petang Ahad, 29 Ramadan 1443H bersamaan 1 Mei 2022M.

“Aktiviti cerapan anak bulan ini dilakukan oleh Jawatankuasa Melihat Anak Bulan/Rukyah Negeri yang dipengerusikan oleh Sahibus Samahah Mufti Negeri dan ahlinya terdiri daripada pakar falak, alim ulamak, pegawai falak yang berkemahiran serta Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM).

“Data rukyah yang digunakan adalah data rasmi untuk Malaysia yang dikeluarkan oleh JUPEM,” memetik kenyataan yang dikeluarkannya pada Rabu.

Menurutnya, pengumuman rasmi tarikh Hari Raya Aidil Fitri akan dibuat oleh Penyimpan Mohor Besar Raja Raja (PMBRR) selaku pihak berkuasa yang diamanahkan oleh Majlis Raja-Raja pada malam tersebut tertakluk kepada hasil aktiviti cerapan anak bulan di semua lokasi yang telah ditetapkan.

Terdahulu seorang individu bernama A Zaharim A Aziz mendakwa data yang diperoleh daripada Pejabat Almanak Nautika Baginda (UK) menunjukkan ketinggian dan pemanjangan anak bulan baharu pada waktu matahari terbenam bagi Kuala Lumpur adalah masing-masing 5 darjah dan 7 darjah.

“Ini bermakna dengan kaedah Imkanur Rukyah, hilal baharu kelihatan walaupun tidak dapat dilihat kerana cuaca buruk.

“Oleh itu, selepas proses pengesanan selesai, Penyimpan Mohor Besar Raja-raja hendaklah mengisytiharkan bahawa 2 Mei 2022 (Isnin) adalah 1 Syawal 1443H, sehari lebih awal daripada tarikh yang dinyatakan dalam kalendar rasmi,” menurut kenyataan individu tersebut, seperti yang disiarkan dalam sebuah portal tempatan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here