Notice: Function _load_textdomain_just_in_time was called incorrectly. Translation loading for the google-analytics-for-wordpress domain was triggered too early. This is usually an indicator for some code in the plugin or theme running too early. Translations should be loaded at the init action or later. Please see Debugging in WordPress for more information. (This message was added in version 6.7.0.) in /home/satuberita.my/public_html/wp-includes/functions.php on line 6121
Hadi Fayyadh, Nooa Laine serta latihan skuad kebangsaan -

Hadi Fayyadh, Nooa Laine serta latihan skuad kebangsaan

SETELAH lebih dua tahun berada di Jepun, penyerang muda Muhammad Hadi Fayyadh Abdul Razak kembali menjalani latihan bersama skuad bawah 23 tahun (B-23) negara buat pertama kali menjelang Sukan SEA di Hanoi, bulan depan.

Pemain berusia 22 tahun itu yang mengalami kecederaan anterior cruciate ligament (ACL) tahun lepas, terbang ke Kuala Lumpur dari Jepun pada Isnin sejurus selepas membuat penampilan sulung saingan divisyen tiga Liga J3 bersama Azul Claro Numazu, Khamis lepas.

Kepulangannya untuk menyertai sesi latihan skuad kebangsaan malam tadi menggembirakan ketua jurulatih kebangsaan Brad Maloney.

“Sungguh menggembirakan melihat dia bermain di Jepun baru-baru ini dan kini berada di sini untuk latihan bersama kami. Saya rasa dia boleh memainkan peranan besar dalam Sukan SEA,” katanya Maloney ketika ditemui pemberita di Kompleks Sukan Institut Penilaian Negara (INSPEN) Bangi, malam tadi.

Selain Hadi Fayyadh, muka baharu Nooa Laine yang kini beraksi bersama kelab Liga Finland SJK Seinajoki turut melaporkan diri semalam.

Bagaimanapun, pemain kacukan Malaysia-Finland berusia 19 tahun itu tidak akan membuat penampilan pertamanya bersama skuad negara di Hanoi selepas tidak didaftarkan dalam skuad Maloney.

Maloney berkata prestasi Laine ketika dalam sesi latihan masih akan dinilai untuk Piala Asia B-23 Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) di Uzbekistan pada Jun ini dan Sukan Asia Hangzhou pada September depan.

Sementara itu, Hadi Fayyadh yang ‘terkandas’ di Jepun sejak penghujung 2019 berikutan pandemik COVID-19, memaklumkan berada pada tahap kecergasan terbaik dan bersedia merebut tempat dalam senarai akhir 20 pemain sekali gus membantu pasukan negara di Hanoi.

“Ini adalah mimpi setiap pemain, bermain untuk negara dan lakukan terbaik, jadi saya balik ini memang saya nak main bersungguh-sungguh dan harap dapat satu keputusan yang bagus di Sukan SEA,” katanya yang bakal membuat penampilan kedua Sukan SEA selepas edisi 2019 di Filipina.

Beliau berkata pengalaman di Jepun akan digunakan sebaiknya untuk membantu pasukan mencapai keputusan positif.

Malaysia yang diundi dalam Kumpulan B pada temasya sukan dwitahunan itu dijadual berdepan Thailand pada 7 Mei, Laos (11 Mei), Singapura (14 Mei) dan Kemboja (16 Mei) di Stadium Thien Truong Stadium, Nam Dinh untuk merebut dua slot ke separuh akhir.

Pada edisi 2019 di Filipina, pasukan negara di bawah bimbingan Datuk Ong Kim Swee gagal melepasi peringkat kumpulan, selepas memenangi pingat perak pada edisi 2017 di Kuala Lumpur– BERNAMA