Notice: Function _load_textdomain_just_in_time was called incorrectly. Translation loading for the google-analytics-for-wordpress domain was triggered too early. This is usually an indicator for some code in the plugin or theme running too early. Translations should be loaded at the init action or later. Please see Debugging in WordPress for more information. (This message was added in version 6.7.0.) in /home/satuberita.my/public_html/wp-includes/functions.php on line 6121
Terkenangkan arwah Achik setiap kali lebaran -

Terkenangkan arwah Achik setiap kali lebaran

MESKIPUN sudah 12 tahun pemergian Allahyarham Achik Spin, adiknya yang juga merupakan penyanyi Tajul Arif mengakui yang dia sering kali teringatkan abangnya itu setiap kali menyambut lebaran.

Meskipun kepergian lelaki paling dikasihinya sudah lebih sedekad, pelbagai kenangan manis pasti akan menjelma apabila mereka berkumpul meraikan Syawal seisi keluarga.

“Kami memang sangat rapat sejak dahulu lagi. Semua adik beradik memang akan berkumpul bagi meraikan Ramadan dan Syawal bersama-sama.

“Mula-mula ayah pergi buat selama-lamanya dan disusuli dengan Achik. Jadi bila berkumpul dengan adik beradik semua akan terkenang dan teringatkan kenangan lalu.

“Semua akan bercerita macam-macam kenangan. Kita yang tinggal reda denga kepergian mereka,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Cerita Tajul lagi, dia tidak menafikan yang hubungannya dengan Achik hanya berjalan dalam tempoh masa yang singkat memandangkan dia masih lagi kecil ketika itu.

Populariti yang diraih oleh Achik ketika itu membuatkan arwah jarang berada di rumah dan kebanyakan masa dihabiskan dengan menyanyi dan pelbagai aktiviti lain.

“Waktu itu saya masih lagi berada di bangku sekolah rendah dan kami sangat rapat walaupun jarang bertemu.

“Arwah hanya akan mempunyai banyak masa terluang apabila tiba Ramadan dan Syawal sahaja. Masa itulah yang kami guna untuk bersama,” tambahnya lagi.

Imbas Tajul lagi, selalunya mereka akan mengunjungi pusara kedua-dua insan yang dikasihi ini setiap kali tibanya 1 Syawal.

Itu juga merupakan aktiviti yang sering dilakukan bagi terus mengenang jasa dan pengorbanan arwah bapa dan abangnya yang banyak berjasa kepada mereka sekeluarga.

Untuk rekod, Achik yang popular bersama kumpulan Spin meninggal dunia pada 17 April 2010 dalam satu kemalangan kereta di Lebuhraya Seremban-Kajang (Lekas). – SB