Akta baharu antirokok: Strategi tepat pada masa – Pakar

0
35

KEPUTUSAN Kementerian Kesihatan (KKM) untuk memperkenalkan akta khusus bagi menangani secara tuntas tabiat merokok dalam kalangan rakyat negara ini melalui strategi yang digelar Generational End Game (GEG), dilihat pakar dan aktivis sebagai tepat pada masanya.

Menurut Menterinya Khairy Jamaluddin, KKM dijangka membentangkan rang undang-undang itu di Parlimen pada Julai depan, yang antara lain melarang generasi yang lahir selepas 2005 membeli dan memiliki sebarang produk berkaitan rokok dan tembakau termasuk rokok elektronik atau vape.

Khairy ketika membuat kenyataan berhubung perkara itu memetik beban kos rawatan penyakit berkaitan rokok yang melampau tinggi di negara ini sebagai antara faktor kerajaan mahu melaksanakan langkah berkenaan.

STRATEGI SEMASA GAGAL

Mengulas strategi terbaharu kerajaan itu, Ketua Sustainable Smokefree Campus Community  Flagship Universiti Islam Antarabangsa Malaysia Prof Dr Mohamad Haniki Nik Mohamed berkata GEG mampu mengurangkan permulaan tabiat merokok dan kebiasaan penggunaan produk tembakau secara keseluruhan dalam jangka panjang.

Ini kerana katanya tinjauan pada 2017 mendapati 13.8 peratus remaja berusia 13 hingga 17 tahun adalah perokok.  

“Melalui GEG, generasi yang pada masa ini berusia 17 tahun tidak akan dibenarkan akses kepada penjualan, pembelian dan penggunaan produk tembakau. Strategi ini diharap akan memberi impak yang diingini dalam jangka masa terdekat bagi mencapai sasaran prevalens kurang daripada 15 peratus sebelum 2025 dan kurang lima peratus sebelum 2040,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Mohamad Haniki yang juga Presiden Persatuan Kesihatan Remaja Malaysia dan aktif memperjuangkan isu kawalan tembakau di negara ini, berkata amnya, strategi semasa dilihat tidak dapat mengurangkan prevalens merokok yang pada masa ini sekitar 20 peratus dalam kalangan orang dewasa dengan jumlah perokok mencecah lima juta orang.

Mengukuhkan lagi kenyataan Khairy, beliau berkata setiap tahun lebih 20,000 rakyat negara ini meninggal dunia akibat pelbagai penyakit berkaitan rokok, khususnya penyakit kardiovaskular, pernafasan dan kanser.

“Kos rawatan untuk tiga penyakit berkaitan rokok itu dianggar mencecah RM3 bilion, sedangkan ada lebih 30 jenis penyakit berkaitan rokok. Maka sudah tentu kos sebenar rawatan yang ditanggung oleh kerajaan jauh lebih tinggi,” kongsi beliau.

Mohamad Haniki tidak menolak kemungkinan negara akan terus mengalami peningkatan bilangan perokok baharu dalam kalangan kanak-kanak dan remaja yang disifatkannya sebagai “generasi pelapis perokok”, sekiranya undang-undang baharu yang dicadangkan oleh KKM itu tidak dilaksanakan. 

Justeru, sokongan semua pihak diperlukan untuk memastikan matlamat GEG, iaitu menamatkan tabiat merokok di negara ini menjelang 2040, dapat direalisasikan dan ini termasuk tiada campur tangan oleh penggiat industri tembakau, katanya.

KOS RAWATAN

Dalam pada itu, dilaporkan kos rawatan berkaitan tabiat merokok di negara ini amat tinggi, iaitu pada 2020 sahaja kos dianggar berjumlah RM6.21 bilion. 

Menurut Timbalan Dekan Sekolah Perniagaan dan Ekonomi, Universiti Putra Malaysia Prof Madya Dr Norashidah Mohamed Nor,  kos itu dijangka meningkat lebih 40 peratus dalam tempoh 10 tahun akan datang sekiranya tiada pengurangan bilangan perokok.

“Kos rawatan ini tidak termasuk kos rawatan akibat penggunaan rokok elektronik yang didapati semakin popular dalam kalangan perokok dan juga remaja. Oleh itu, pelaksanaan GEG  adalah tepat pada masanya dengan menyasarkan peratus prevalens merokok kurang lima peratus pada 2040,” katanya kepada Bernama.

Ulas beliau, penguatkuasaan undang-undang baharu itu dijangka dapat menurunkan jumlah perokok dan penjimatan kos rawatan sebanyak 20 peratus dalam tempoh lima tahun akan datang.

Namun katanya ada cabaran yang perlu ditangani oleh kerajaan jika mahu memastikan matlamat GEG benar-benar tercapai, antaranya ialah isu rokok seludup yang masih berleluasa dan halangan daripada pihak industri tembakau itu sendiri.

CABARAN GEG 

Kajian Rokok Seludup Malaysia (ICS) yang dijalankan oleh Gabungan Pengilang Tembakau Malaysia (CMTM) menunjukkan ada penurunan dari segi penjualan rokok haram, iaitu daripada 64.1 peratus pada Disember 2020 kepada 57.9 peratus pada Mei 2021.

Namun menurut mereka, angka itu masih tinggi kerana rokok seludup mendominasi lebih separuh daripada pasaran rokok tempatan.  

Lambakan dan penggunaan rokok seludup juga menyebabkan Malaysia kerugian RM5 bilion setahun dalam bentuk cukai tidak dapat dikutip.

Pihak industri melihat pelaksanaan  dasar GEG akan memburukkan lagi masalah rokok seludup yang mempunyai “peminat” sendiri.  

Mengakui tentang permasalahan rokok seludup yang masih berterusan, Norashidah bagaimanapun menyifatkan jangkaan pihak industri tembakau bahawa GEG akan meningkatkan kemasukan rokok seludup ke negara ini sebagai satu taktik menentang pelaksanaan dasar itu.  

“Tiada kajian yang menunjukkan hubungan di antara dasar Generasi Penamat (GEG) dengan kenaikan pasaran rokok seludup. Malah ada kajian yang membuktikan saiz pasaran rokok seludup di Malaysia adalah jauh lebih rendah berbanding yang diuar-uarkan oleh pihak industri. 

“Kita mesti ingat bahawa sebahagian daripada rokok seludup ini diguna oleh pekerja asing yang ada di Malaysia kerana mereka lebih suka menghisap rokok (berasal) dari negara masing-masing, dan di Malaysia lebih 60 peratus pekerja di sektor pembinaan adalah pekerja asing,” jelasnya.

Tambah beliau, kajian yang dijalankan juga menunjukkan lambakan rokok seludup boleh diatasi dengan meningkatkan penguatkuasaan terutama di sempadan, selain kerjasama semua pihak yang berkenaan.

“Keadaan menjadi sukar jika kita hanya tahu menuding jari kepada pihak berkuasa tanpa sama-sama berusaha untuk mengatasi masalah rokok seludup ini,” tegasnya.

MEROKOK SEAWAL USIA LAPAN TAHUN

Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) pernah mendedahkan ada kanak-kanak di negara ini mula merokok pada usia lapan tahun.

CAP dalam tinjauannya juga mendapati kanak-kanak mula terdedah kepada rokok pada usia lima hingga tujuh tahun apabila disuruh membeli rokok oleh saudara terdekat.

 Malah menurut CAP, kesediaan pekedai runcit menjual rokok secara batang turut membuka ruang kepada kanak-kanak untuk mencuba.

Menyifatkan fenomena merokok dalam kalangan kanak-kanak dan remaja semakin parah, Pegawai Pendidikan CAP NV Subbarow berharap pembentangan rang undang-undang berkaitan larangan pembelian rokok oleh generasi yang lahir pada dan selepas  2005 tidak ditangguhkan.

“Jika lewat dibentang, maka lewatlah  dikuatkuasakan, sedangkan kita mahu melindungi kesihatan kelompok usia yang khusus,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Beliau juga mahu kerajaan memberi tumpuan pada penggunaan vape dalam kalangan kanak-kanak dan remaja.

 “Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), terdapat kira-kira 16,000 perisa vape di pasaran yang mampu menarik minat golongan remaja. Vape dan rokok elektronik boleh membuatkan pelajar ketagihan,” kata aktivis antimerokok itu.- BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here