[VIDEO] ‘Usah menikam dalam senyuman’, Annuar Musa sindir siapa?

0
633

TAN Sri Annuar Musa hari ini membidas tindakan segelintir pemimpin, yang dipercayai merujuk kepada pucuk pimpinan tertinggi Umno yang didakwa cuba mempertikaikan kesetiaan rakan seperjuangan.

Ketua Umno Bahagian Ketereh menegaskan, cubaan mempertikaikan kesetiaan rakan-rakan yang sepanjang hayat berjuang demi parti disifatkan sebagai bukan satu cara yang baik.

Bahkan, katanya perkara itu sebaliknya adalah tindakan menanam kebencian sesama ahli yang hanya akan melemahkan parti.

Tanpa merujuk kepada mana-mana pihak, Annuar menambah, kesetiaan yang dizahirkan kepada parti dalam pelbagai cara sememang wujud dan perlu diraikan.

“Pendek kata, kalau pun jasa tak mahu dikenang, setiakawan mahu disalah ertikan, usah soal setia mahu dibicarakan. Usah menikam dalam senyuman,” katanya dalam hantaran di laman Facebook pada Ahad.

Terdahulu, Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dilihat mempersoalkan pendirian Annuar yang menyifatkan dokumen ‘Pasleak’ bukan sesuatu yang luar biasa dan tidak perlu diperbesarkan.

Jelas Ahli Parlimen Bagan Datuk itu, sebagai ahli parti yang setia, Annuar sepatutnya sentiasa berwaspada dalam mengeluarkan kenyataan.

Mengulas lanjut, Annuar berkata, kesetiaan kepada parti sememang amat penting, dan ia berbeza dengan kesetiaan kepada individu, yang kadangkala dianggap sebagai tanda setia pada parti.

Katanya lagi, mereka yang melakukan kesilapan dan perlakuan yang menyalahi semangat perjuangan tidak boleh menuntut kesetiaaan kerana kerana itu adalah individu, dan bukannya parti.

“Kesilapan individu, perlakuan individu yang menyalahi roh, matlamat dan semangat perjuangan parti tidak boleh menuntut kesetiaan kerana itu individu dan bukannya parti.

“Begitu juga teguran kepada individu atau perlakuan tertentu, bukan satu perlakuan tidak setia pada parti.

“Sering parti dijadikan perisai tindakan peribadi. Parti tidak boleh diurus sebagai hak peribadi.

“Membelakangi mandat parti, tidak menjunjung amanah parti, tindakan tidak patuh kepada keputusan parti, lain ditetapkan parti lain dibuat di luar pengetahuan parti, membohongi parti adalah antara tanda tidak setia kepada parti,” ujarnya lagi.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here