Notice: Function _load_textdomain_just_in_time was called incorrectly. Translation loading for the google-analytics-for-wordpress domain was triggered too early. This is usually an indicator for some code in the plugin or theme running too early. Translations should be loaded at the init action or later. Please see Debugging in WordPress for more information. (This message was added in version 6.7.0.) in /home/satuberita.my/public_html/wp-includes/functions.php on line 6121
Kanak-kanak maut digilis kereta mengundur -

Kanak-kanak maut digilis kereta mengundur

SEORANG kanak-kanak perempuan maut digilis kereta ketika cuba menghentikan kenderaan itu yang mengundur, selepas dia melepaskan brek tangan ketika bermain di dalam kereta itu bersama adiknya di Kuala Ketil, Kedah, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 2 petang di rumah mereka Kampung Keledang, mangsa, Aisyah Amani Amirrudin, 10, yang juga murid Sekolah Kebangsaan (SK) Tawar, terperosok di bawah PROTON Wira keluarganya

Kejadian menyayat hati itu berlaku di hadapan dua kakak, adik lelaki dan bapa saudaranya yang ketika itu bertungkus lumus cuba membantu mengeluarkan mangsa untuk menyelamatkannya.

Bagaimanapun, mangsa disahkan meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke hospital akibat pendarahan di kepala, selain tulang tengkorak patah kerana digilis kereta berkenaan.

Memetik laporan Berita Harian, sumber berkata, kejadian berlaku ketika dua kakak mangsa berusia 15 dan 12 tahun serta bapa saudaranya yang berusia 29 tahun berada dalam rumah.

“Mangsa ketika itu sedang bermain bersama adik lelakinya di luar rumah, manakala kakak sulung sedang mengulang kaji pelajaran dan kakak kedua pula tidur di ruang tamu.

“Bapa saudara mangsa yang bekerja sebagai pemandu ambulans sebuah syarikat swasta pula sedang bersiap dan baru selesai mandi untuk ke tempat kerja,” katanya.

Katanya, kejadian mangsa terperosok bawah kereta itu hanya disedari dua kakaknya selepas mendengar jeritan adik lelaki dan mereka kemudian terus meluru keluar untuk melihat apa yang berlaku.

“Adik bongsu menunjukkan mangsa di bahagian belakang kereta dan melihatkan kejadian itu, semua tiga beradik berkenaan menjerit meminta tolong bapa saudara yang berada dalam rumah.

“Bapa saudara yang meluru keluar berusaha mengeluarkan mangsa di bahagian belakang bawah kereta sebelum lelaki terbabit menggunakan kudratnya menolak kereta ke hadapan dan berjaya menarik mangsa keluar,” katanya.

Sumber berkata, mangsa kemudian dibawa ke Hospital Sultan Abdul Halim, Sungai Petani, namun mangsa disahkan meninggal dunia ketika dalam perjalanan.

“Hasil siasatan awal, adik bongsu mereka mendakwa kakaknya itu masuk dalam kereta dan bermain di tempat pemandu sebelum dia menurunkan brek tangan membuatkan kereta berkenaan mengundur.

“Kanak-kanak itu juga mendakwa kakaknya yang panik terus berlari keluar ke belakang kerana mahu menahan kereta daripada terus bergerak sebelum dilanggar dan terperosok bawah kenderaan terbabit,” katanya.

Katanya, siasatan di lokasi kejadian mendapati tempat parkir kereta itu agak bercerun dan berbukit dengan bahagian belakang kenderaan kemek akibat terlanggar pokok.

“Mayat mangsa dihantar untuk bedah siasat dan pemeriksaan awal mendapati kanak-kanak itu mengalami kecederaan di belakang leher dan kepala.

“Setakat ini, kes diklasifikasi sebagai mati mengejut dan disiasat mengikut Seksyen 31(1) Akta Kanak-Kanak 2001,” katanya.