Notice: Function _load_textdomain_just_in_time was called incorrectly. Translation loading for the google-analytics-for-wordpress domain was triggered too early. This is usually an indicator for some code in the plugin or theme running too early. Translations should be loaded at the init action or later. Please see Debugging in WordPress for more information. (This message was added in version 6.7.0.) in /home/satuberita.my/public_html/wp-includes/functions.php on line 6121
Rumah Mesra Sabah Maju Jaya diberikan percuma: Ketua Menteri -

Rumah Mesra Sabah Maju Jaya diberikan percuma: Ketua Menteri

SEBANYAK 1,500 unit Rumah Mesra Sabah Maju Jaya (SMJ) yang bernilai kira-kira RM70,000 setiap satu akan diberikan secara percuma kepada rakyat Sabah yang memerlukan, kata Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor.

Beliau berkata, kerajaan negeri akan menggunakan Geran Khas untuk Sabah sebanyak RM125.6 juta disalurkan kerajaan Persekutuan, bagi membina Rumah Mesra SMJ itu yang sebelum ini dikenali sebagai Projek Perumahan Rakyat Termiskin atau PPRT di negeri itu.

Katanya, rumah itu akan dibina di semua 73 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah dan pegawai terlibat seperti pegawai daerah, presiden majlis perbandaran dan mayor majlis bandar raya akan diminta mengenal pasti mereka yang benar-benar layak untuk menerima bantuan Rumah Mesra SMJ.

“Peruntukan ini (Geran Khas untuk Sabah) kita kena bagi balik kepada rakyat terutama yang kurang berkemampuan, tidak punya rumah selesa jadi kita putuskan untuk bina Rumah Mesra SMJ.

 “Setiap tahun kerajaan Persekutuan ada beri untuk bina rumah PPRT, peruntukan itu juga kita bina Rumah Mesra SMJ.

 “Kita mahu membantu mereka yang susah, tidak mempunyai rumah atau ada rumah daif supaya mereka dapat merasai nikmat hidup lebih selesa… spesifikasinya mungkin kita ubah sikit daripada rumah PPRT sekarang untuk beri lebih keselesaan kepada rakyat,” katanya di Kampung Serusop sini pada Jumaat

.Hajiji berkata demikian pada sidang media selepas menyampaikan bantuan Ramadan dan Aidilfitri kepada 180 penerima memerlukan berupa barangan harian serta wang tunai, dan sumbangan kurma kepada 28 masjid dan 25 surau di negeri ini.

Sebelum ini media melaporkan, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Hajiji dalam satu kenyataan bersama menyatakan bahawa kerajaan Persekutuan telah bersetuju untuk menaikkan Geran Khas untuk Sabah 4.7 kali ganda daripada RM26.7 juta kepada RM125.6 bermula tahun ini. 

Pada majlis itu, Hajiji menyampaikan sumbangan Ramadan dan Aidilfitri kepada anak-anak yatim, OKU, mualaf, pengerusi dan imam-imam masjid dan surau kawasan Parlimen Tuaran di Tembaraku, KampungSerusup.

Seramai 180 orang menerima sumbangan berupa bakul makanan dan duit raya.Sementara itu, sebanyak 28 buah masjid dan 25 buah surau turut menerima sumbangan buah kurma.

Setiap masjid menerima tujuh kotak buah kurma dan surau menerima lima kotak untuk diagih-agihkan kepada jemaah.

Hajiji yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sulaman berkata, sumbangan itu diharap dapat membantu meringankan sedikit beban golongan penerima menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri

Hadir sama Ketua Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri, Datuk Abd Kassim Razali, Pegawai Daerah Tuaran, Syahrin Samsir, Pegawai Eksekutif Majlis Daerah Tuaran, Jamlin Ladin dan Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) DUN Sulaman, Haji Murneh Haji Lamsari.–Bernama