‘PasLeaks’ bukan isu luar biasa – Annuar Musa

DOKUMEN ‘PasLeaks’ yang didakwa mengandungi perancangan sulit untuk menjatuhkan pemimpin UMNO disifatkan sebagai bukan sesuatu yang luar biasa dan tidak perlu diperbesarkan.

Ketua UMNO Bahagian Ketereh Tan Sri Annuar Musa berkata, berdasarkan pemahaman beliau setelah meneliti dokumen berkenaan, dia berpandangan dokumen itu hanya catitan pemimpin Pas dalam mencari fakta mengenai pandangan beberapa pemimpin parti lain.

“Saya tidak tahu dokumen itu benar atau tidak. Katakanlah ia benar, pada saya ia bukan satu perkara macam ada perancangan, pada saya, tidak. Pada pemahaman saya ia catatan-catatan ‘siri libat urus’ yang mereka (pemimpin Pas) buat dalam ‘fact finding‘.

“PAS cuba memahami apakah pandangan daripada tokoh-tokoh pelbagai parti, ada daripada UMNO ada daripada Pejuang dan sebagainya,” katanya kepada pemberita ketika mengulas isu berkenaan di Alor Setar pada Sabtu.

Kata Annuar, dokumen berkenaan bukan perkara yang luar biasa meskipun benar ia mengandungi perancangan untuk menjatuhka UMNO kerana perkara itu merupakan kelaziman mana-mana parti yang bertanding dalam pilihan raya untuk menjatuhkan lawan mereka.

“Kecuali parti itu berada dalam gabungan kita dan tiba-tiba dia buat perkara yang menentang kita. Itu peliklah. Tapi kita, UMNO yang mengisytiharkan tidak bersama dengan mereka (Pas) dalam pilihan raya akan datang.

“Jadi kalau mereka sedang membuat penilaian untuk mengetahui apa yang mereka patut lakukan, pada saya itu perkara lazim dan kita tidak ada hak untuk mempertikaikan,” katanya.

Katanya, adalah lebih baik sekiranya pihak-pihak yang ingin mendapatkan maklumat berkenaan perkara itu berjumpa dan berbincag secara bersemuka berbanding menerusi media sosial.

Cadangan berkenaan adalah memandangkan kesahihan dokumen ‘PasLeaks’ itu yang tidak dapat ditentukan.

“Saya suka berbincang, berjumpa secara langsung, bercakap secara spekulasi ini kadang-kadang tak sampai ke mana-mana. Sebab itu pada saya tidak perlu kita memperbesar-besarkan dan kita cari jalan.

“Kalau kita rasa nak dapatkan maklumat tepat kita boleh jumpa dan mereka berada bersama-sama kita dalam kerajaan,” ulasnya.–SB