Notice: Function _load_textdomain_just_in_time was called incorrectly. Translation loading for the google-analytics-for-wordpress domain was triggered too early. This is usually an indicator for some code in the plugin or theme running too early. Translations should be loaded at the init action or later. Please see Debugging in WordPress for more information. (This message was added in version 6.7.0.) in /home/satuberita.my/public_html/wp-includes/functions.php on line 6121
SOP aktiviti skuba perlu lebih ketat-Sultan Ibrahim -

SOP aktiviti skuba perlu lebih ketat-Sultan Ibrahim

Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

SULTAN Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar bertitah, menegaskan penyediaan prosedur operasi standard (SOP) aktiviti selam skuba di Mersing perlu lebih ketat dengan menitikberatkan pelbagai perkara penting sebelum dikuatkuasakan.

Baginda bertitah, penguatkuasaan SOP itu perlu memastikan perkara seperti lesen menyelam yang sah, rekod penyelenggaraan peralatan, rekod laporan terkini perubatan penyelam, insurans serta buku catatan rekod penyelam yang sentiasa dikemas kini.

Terdahulu, Sultan Johor berkenan menerima mengadap Pegawai Daerah Mersing selaku Pengerusi Jawatankuasa Keselamatan Daerah Mohammed Shakib Ali di Istana Flinstones, Mersing pada hari ini.

Pada pertemuan itu, Mohammad Shakib turut mempersembahkan kepada baginda mengenai SOP aktiviti selam skuba dan ‘Island Hopping’ di Mersing.

“Saya meneliti dan memperhalusi setiap SOP berkaitan aktiviti selam skuba yang disediakan Pejabat Daerah Mersing serta Majlis Daerah Mersing bersama beberapa jabatan serta agensi penguatkuasaan lain.

“Saya juga telah bertitah beberapa perkara penting berkaitan aktiviti selam skuba dan turut menitahkan kepada Pegawai Daerah Mersing supaya turut melibatkan sama Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) serta Persatuan Selam Skuba Malaysia,” titah baginda kepada Royal Press Office (RPO).

Sementara itu, Mohammad Shakib berkata, Sultan Johor berkenan untuk mempengerusikan satu mesyuarat bersama wakil jabatan, agensi penguatkuasaan serta persatuan selam skuba dalam tempoh terdekat dalam memperhalusi setiap SOP sebelum dikuatkuasakan.

Susulan kejadian di perairan Pulau Tokong Sanggul baru-baru ini, Sultan Johor menitahkan semua aktiviti menyelam di perairan Mersing dihentikan sementara waktu sehingga kajian semula seluruh SOP keselamatan aktiviti menyelam di daerah berkenaan selesai. – SB