Notice: Function _load_textdomain_just_in_time was called incorrectly. Translation loading for the google-analytics-for-wordpress domain was triggered too early. This is usually an indicator for some code in the plugin or theme running too early. Translations should be loaded at the init action or later. Please see Debugging in WordPress for more information. (This message was added in version 6.7.0.) in /home/satuberita.my/public_html/wp-includes/functions.php on line 6121
[VIDEO] Satu keluarga layan ular seperti layan kucing -

[VIDEO] Satu keluarga layan ular seperti layan kucing

SETIAP individu memiliki minat yang berbeza lebih-lebih lagi dalam memelihara haiwan peliharaan yang menjadi kebiasaan iaitu kucing dan anjing yang menjadi pilihan ramai.

Tetapi berbeza dengan Kamarul Aiman Kamarudin, 25 yang memelihara ular dengan penuh kasih sayang ibarat menatang minyak yang penuh.

Bukan hanya memberi makan dan minum, tetapi Kamarul Aiman memberi kasih sayang kepada ularnya yang diberi nama Miko, sama seperti orang yang memelihara kucing atau anjing.

Sudah memelihara Miko sejak tujuh tahun lalu ketika reptilia itu masih kecil, membuatkan Miko ‘jinak’ malah keluarganya turut menyayangi reptilia itu yang beratnya kini mencecah 90 kilogram (kg) dengan panjang berukuran 5.4 meter.

Cinta terhadap haiwan reptilia itu bermula apabila Miko dibawa pulang ke rumah oleh bapa saudaranya, selepas mendapat lesen sebagai pemilik daripada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan).

“Ketika kecil, saya dan keluarga gemar menonton rancangan dokumentari National Geographic dari situ timbulnya minat yang mendalam terhadap haiwan eksotik.

“Satu hari, bapa saudara bawa pulang Miko ke rumah dan tunjukkan kepada kami sekeluarga.

“Sejak itu, saya tertarik dengan Miko dan memandangkan bapa saudara jarang pulang ke rumah disebabkan kerja di luar negeri maka saya yang dipertanggungjawabkan untuk menjaga haiwan itu,” katanya memetik laporan Harian Metro.

Kamarul Aiman berkata, ada beberapa individu yang mahu memberi ular sawa liar kepadanya kerana tahu dia memelihara Miko.

Bagaimanapun, dia terpaksa menolaknya kerana ular sawa liar agak agresif dan berbeza dengan Miko yang manja sejak kecil.

“Buat masa ini, saya sekeluarga hanya pelihara seekor ular iaitu Miko kerana mengambil kira soal kemampuan memandangkan kos makanan Miko yang agak tinggi.

“Lagipun kami tiada masa untuk pelihara lebih daripada seekor ular kerana turut memelihara haiwan lain seperti kucing, lembu, kambing, arnab, ayam, itik, angsa, puyuh dan burung merpati,” katanya.

Berkongsi lanjut pengalamannya, Kamarul Aiman berkata, Miko tidak pernah berkelakuan agresif dengannya mahupun ahli keluarga yang lain.

Sebaliknya, semua ahli keluarga menerima dan melayan Miko dengan baik, malah reptilia itu juga menjadi tarikan jiran serta saudara-mara ketika berkunjung ke rumahnya.

“Mungkin kerana saya memelihara Miko sejak kecil, jadi saya mahupun keluarga tidak pernah digigit atau dibelit olehnya.

“Bagaimanapun, itu tidak bermakna kami mengambil mudah soal keselamatan, malah ada sediakan sangkar khas untuk menempatkan Miko di luar rumah dan hanya bawanya keluar ketika keluarga serta rakan yang datang mahu melihatnya lebih dekat.

“Kebiasaannya, saya akan mandikan Miko terlebih dahulu sebelum saudara-mara atau rakan datang untuk melihat Miko dan bawanya ke kawasan yang sesuai,” katanya.

Berhubung perkongsiannya di TikTok, Kamarul Aiman tidak menyangka video dimuat naiknya di platform berkenaan mendapat perhatian netizen hingga meraih jutaan tontonan kerana baru mengaktifkan akaun dua bulan lalu.

“Niat saya kongsi di TikTok untuk suka-suka, tak sangka pula boleh tular, malah video terawal menunjukan Miko bersalin kulit di bawah sofa setakat ini meraih hampir dua juta tontonan.

“Bertitik tolak daripada situ, pengikut saya di TikTok bertambah dan kerap memuat naik video atas permintaan mereka (pengikut) juga yang mahu tahu perkembangan Miko.

“Meskipun ramai yang suka, ada juga kecaman diterima sejak berkongsi video Miko apabila segelintir berkongsi kepercayaan mereka bahawa ular peliharaan saya itu akan ‘memakan tuan.’

“Ada juga yang nasihatkan supaya melepaskan Miko ke habitat asal, namun kami sekeluarga tidak sampai hati kerana yakin di luar sana lebih bahaya untuknya, jadi biar kami memeliharanya selagi termampu,” katanya. – SB