POLIS menahan seorang pemandu lori yang cuba melarikan diri daripada ditahan pihak berkuasa kerana dipercayai sedang membawa muatan minuman keras tidak bercukai dianggarkan bernilai RM1.8 juta.
Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, lelaki berusia 40-an itu ditahan di Jalan Tuas – Lima Kedai, di Iskandar Puteri, Johor, pada Khamis selepas polis menerima panggilan daripada pegawai Kastam pada pukul 1.12 petang untuk membantu menahan lori berkenaan.
“Ekoran itu, tiga buah peronda MPV ke lokasi kejadian sehingga berlakunya insiden mengejar sebelum lori berkenaan ditahan.
“Insiden itu bermula dari Jalan Danga Bay sehingga sejauh kira-kira 20 kilometer dengan anggaran masa satu jam. Sebelum ditahan, lori itu merempuh bahagian belakang salah sebuah MPV polis sehingga mengalami kerosakan,” katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.
Tambah beliau, kejadian itu bagaimanapun tidak melibatkan kecederaan terhadap mana-mana pihak sama ada pegawai penguat kuasa mahupun pemandu lori berkenaan.
Terdahulu, dalam sebuah video berdurasi 1 minit 22 saat, kelihatan sebuah kenderaan Kastam sedang mengejar lori berkenaan sebelum kenderaan berat itu berhenti dan mengundur dipercayai bagi merempuh kenderaan dinaiki pegawai Kastam terbabit.
Sejurus selepas itu, kelihatan seorang pegawai Kastam mengeluarkan badannya melalui tingkap penumpang dan melepaskan beberapa das tembakan ke arah lori berkenaan dipercayai bagi menghentikan kenderaan tersebut.
Berdasarkan video tersebut, dianggarkan tidak kurang daripada 10 das tembakan dilepaskan dipercayai bagi menghentikan lori terbabit.
Sementara itu, Kamarul Zaman berkata, pemandu lori berkenaan kini ditahan reman 10 hari hingga 1 Mei ini.
“Polis bekerjasama dengan Kastam untuk memastikan saki-baki ahli sindiket penyeludupan termasuk beberapa kumpulan tonto terlibat dibanteras kerana mereka telah mengancam keselamatan penguat kuasa.
“Mana-mana pihak yang mempunyai sebarang maklumat berhubung kejadian itu diminta menyalurkan maklumat kepada pegawai penyiasat di talian 017-2123370 atau mengunjungi mana-mana balai polis terdekat,” ujarnya.
Tambahnya, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 135(1)(e) Akta Kastam 1967; Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan Seksyen 39D Akta Senjata Api 1960. – SB
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.