Kadar bayaran haji baharu naik antara RM1,000 – RM3,000 – TH

LEMBAGA Tabung Haji (TH) hari ini mengumumkan kadar bayaran baharu untuk umat Islam Malaysia menunaikan haji secara Muassasah yang dibahagikan kepada dua kategori iaitu kadar untuk jemaah kumpulan B40 dan juga kadar jemaah bukan B40.

Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) TH, Datuk Seri Amrin Awaluddin berkata, kadar bayaran yang dilakukan secara bersasar itu akan menyaksikan kenaikan sebanyak RM1,000 berbanding kadar sebelum ini untuk jemaah B40 dan RM3,000 untuk jemaah bukan B40.

Kadar bayaran mengerjakan haji Muassasah melalui TH sebelum ini adalah RM9,980 walaupun kos mengerjakan haji telah meningkat dengan ketara sejak beberapa tahun ini.

“Kenaikan ini tidak dapat dielakkan kerana kenaikan cukai nilai tambah, caj visa haji, insurans Covid-19 yang dikenakan oleh pihak berkuasa Arab Saudi dan lain-lain kos bagi jemaah yang menerima pelbagai perkhidmatan ketika berada di tanah suci,” katanya dalam sidang akhbar yang turut disiarkan melalui Facebook pada Jumaat.

Jelasnya, kadar VAT di Arab Saudi dinaikkan daripada lima kepada 15 peratus, sekali gus menjadi faktor utama kenaikan kos haji lebih RM2,500 untuk seorang jemaah haji Muassasah.

“Bayaran haji jemaah Muassasah telah kekal pada RM9,980 seorang sejak 2009, iaitu 13 tahun lalu …walaupun kos menunaikan haji telah meningkat setiap tahun hingga 103 peratus,” katanya.

Bantuan Kewangan Haji yang diberikan kepada setiap jemaah adalah selari dengan usaha TH untuk memastikan kebajikan jemaah haji Malaysia kekal terjamin.

“Bantuan Kewangan Haji diteruskan bagi semua jemaah haji muassasah TH yang menunaikan haji buat kali pertama dan merangkumi dua kumpulan iaitu jemaah daripada kategori B40 dan selain B40.

“Berdasarkan kuota haji rasmi tahun yang telah diturunkan kepada sekitar 45 peratus oleh kerajaan Arab Saud seperti diumumkan Menteri (Hal Ehwal Agama) semalam, TH dijangka membelanjakan RM150 juta bagi menampung sebahagian kos menunaikan ibadat haji tahun ini melalui Bantuan Kewangan Haji,” katanya. – SB