Lebih 24 jam lolos, tahanan Rohingya dijangka serah diri akibat kelaparan

0
285

POLIS tidak menolak kemungkinan tahanan Rohingya yang melarikan diri dari Depot Tahanan Imigresen Sungai Bakap awal pagi semalam akan menyerah diri dalam masa terdekat.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kedah, Datuk G.Suresh Kumar berkata ini kerana tahanan yang menghilang lebih dari 24 jam itu tidak mempunyai bekalan makanan dan pakaian.

“Mereka (tahanan) ini lari sehelai sepinggang…jadi berapa lama mereka boleh bertahan, ditambah dalam keadaan bulan puasa ini. Ada kemungkinan besar mereka (tahanan) akan menyerah diri,” katanya kepada pemberita selepas meninjau Depot Tahanan Imigresen Sungai Bakap hari ini.

Suresh Kumar berkata hasil siasatan yang dijalankan ke atas lebih 200 tahanan Rohingya yang telah berjaya ditahan semula mendapati tiada sebarang unsur paksaan untuk mereka meloloskan diri dari depot berkenaan. 

“Pemeriksaan pada hari kejadian mendapati terdapat kira-kira 100 orang tahanan Rohingya kekal berada dalam depot,” katanya.

Suresh Kumar berkata depot berkenaan kini dijadikan pusat siasatan bagi menyiasat kes tersebut.

Dalam kejadian awal pagi semalam, 528 tahanan etnik Rohingya meloloskan diri dari Depot Tahanan Imigresen Sungai Bakap dengan enam daripadanya maut dilanggar kenderaan semasa melintasi jalan di Kilometer 168 Lebuh Raya Utara Selatan berhampiran Jawi, Nibong Tebal.– BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here