Notice: Function _load_textdomain_just_in_time was called incorrectly. Translation loading for the google-analytics-for-wordpress domain was triggered too early. This is usually an indicator for some code in the plugin or theme running too early. Translations should be loaded at the init action or later. Please see Debugging in WordPress for more information. (This message was added in version 6.7.0.) in /home/satuberita.my/public_html/wp-includes/functions.php on line 6121
Kuota haji: Malaysia diberi tempat untuk 14,306 jemaah -

Kuota haji: Malaysia diberi tempat untuk 14,306 jemaah

KUOTA haji Malaysia yang diterima daripada kerajaan Arab Saudi bagi tahun ini ialah 14,306 orang.

Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Idris Ahmad, angka itu kira-kira 45 peratus daripada jumlah kuota tahunan yang diterima Malaysia sebelum ini.

Katanya, kuota haji diterima Malaysia sebelum pandemik melanda dunia ialah 31,600 orang.

“Peratusan yang sama iaitu 45 peratus (daripada kuota tahunan sebelum ini) juga terpakai kepada semua negara lain.

“Alhamdulillah, apa yang penting jemaah haji Malaysia dapat menunaikan fardu haji di Mekah tahun ini,” katanya menerusi laman Facebook beliau hari ini.

Idris juga mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada kerajaan Arab Saudi dengan jumlah kuota yang diberikan kepada jemaah Malaysia pada tahun ini.

Katanya, ini adalah satu berita baik buat umat Islam Malaysia setelah dua tahun menunggu untuk menunaikan rukun Islam kelima akibat wabak.

“Jemaah haji tahun ini ialah mereka yang di bawah umur 65 tahun, tidak mempunyai penyakit kronik dan mempunyai sijil vaksinasi COVID-19.

“Seseorang jemaah juga perlu menampilkan keputusan ujian saringan COVID-19 72 jam sebelum menaiki penerbangan ke tanah suci,” jelasnya.

Jelas Idris, jumlah sejuta jemaah yang dibenar menunaikan fardu haji tahun ini adalah kira-kira 40 peratus daripada jumlah yang dibenarkan sebelum wabak.

Katanya, kebiasaannya 2.5 juta jemaah dibenarkan bagi sesuatu musim haji.

“Keputusan ini sudah tentu berkait langkah berjaga-jaga bagi mengawal kesihatan dan keselamatan jemaah haji.

“Pada masa sama, daripada sejuta jemaah yang dibenarkan, 85 peratus tempat adalah untuk jemaah dari luar Arab Saudi.

“Ini satu peningkatan berbanding 2019. Ketika itu 75 peratus adalaah jemaah luar,” ujarnya.

Mengenai bantuan susbidi haji, Idris berkata, perkara itu akan diumumkan kemudian.

Dari segi persiapan Tabung Haji, katanya, semua berada pada tahap terbaik.

Menurut Idris, beliau juga telah mengarahkan pengurusan agensi itu memastikan kelancaran dan keselesaan jemaah.

“Bakal jemaah yang terpilih bakal menerima surat tawaran dalam sedikit masa lagi,” katanya sambil menegaskan semua jemaah Malaysia wajib ambil suntikan vaksin COVID-19. – SB