Bekas KSN, Ali Hamsa meninggal dunia

BEKAS Ketua Setiausaha Negara (KSN) Tan Sri Ali Hamsa meninggal dunia hari ini pada usia 66 tahun di Hospital Dublin, Ireland.

Berita itu disahkan KSN Tan Sri Mohd Zuki Ali dalam satu kenyataan pada pagi Khamis.

Beliau mewakili seluruh warga perkhidmatan awam Malaysia turut merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham.

“Mewakili seluruh warga Perkhidmatan Awam Malaysia, saya merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Tan Sri Dr Ali Hamsa yang telah kembali ke rahmatullah pada hari ini, 21 April 2022 bersamaan 19 Ramadan 1443H di Hospital Dublin, Ireland.

“Sesungguhnya, pemergian beliau di bulan Ramadhan yang mulia ini merupakan satu kehilangan besar kepada Negara dan Perkhidmatan Awam.

“Semoga Allah SWT merahmati dan menempatkan beliau dalam kalangan orang-orang yang beriman,” tulis kenyataan itu.

Allahyarham Ali Hamsa yang dilahirkan di Kluang, Johor pada 29 Ogos 1958 memegang jawatan KSN dari tahun 2012 hingga 2018.

Sebelum dilantik sebagai KSN, Ali pernah berkhidmat sebagai Pegawai Tadbir dan Diplomatik (PTD) di Kementerian Perdagangan dan Perindustrian juga sebagai Ketua Penolong Pengarah/ Ketua Unit Perkapalan di Kementerian Pengangkutan.

Selain itu, Allahyarham juga pernah menjadi Ahli Lembaga Pengarah Johor Corporation dan Pengarah Bukan Eksekutif Bintulu Port Holdings Bhd.

Allahyarham dilantik sebagai KSN pada 19 Jun 2012 menggantikan Tan Sri Mohd Sidek Hassan yang tamat kontrak perkhidmatan pada 23 Jun 2012. – SB