SERAMAI 528 pendatang asing tanpa izin (PATI) yang ditahan di Depot Imigresen Sementara Relau, Kedah, dilaporkan melarikan diri awal pagi Rabu.
Dalam kejadian itu kira-kira jam 4 pagi, kumpulan PATI antaranya dipercayai warga Bangladesh, Indonesia dan etnik Rohingya dilihat keluar beramai-ramai dari depot terbabit oleh penduduk tempatan.
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Khairul Dzaimee Daud, berkata siasatan awal mendapati tahanan melarikan diri selepas berjaya memecahkan pintu blok dan pagar penghadang di depot berkenaan.
Beliau berkata, berikutan itu pegawai bertugas mengaktifkan prosedur operasi standard (SOP) dengan menghubungi pihak polis dan agensi berkaitan bagi mendapatkan bantuan.
Katanya, gerakan mencari dan menahan semula tahanan yang melarikan diri sedang giat dijalankan dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) dan orang ramai.
“Setakat jam 10 pagi tadi, seramai 362 tahanan berjaya ditahan semula dan gerakan mencari baki tahanan yang lain sedang diteruskan.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai lokasi tahanan yang melarikan diri ini diminta memaklumkan kepada pihak Jabatan Imigresen dan polis,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Difahamkan, semua tahanan itu di bawah seliaan Jabatan Imigresen Malaysia Pulau Pinang, namun ditempatkan di depot tahanan sementara berkenaan sebelum urusan penghantaran pulang dilakukan.
Berikutan itu, operasi menahan semula semua tahanan terpaksa dilakukan JIM yang turut mendapat bantuan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bandar Baharu, Kedah dan IPD Seberang Perai Selatan, Pulau Pinang.
Sehingga kini, dimaklumkan lebih separuh tahanan yang terlepas dapat ditahan semula dengan operasi mengesan PATI yang masih bebas masih dilakukan pihak berkuasa.
Bagaimanapun, enam PATI dilaporkan maut selepas terbabit dalam kemalangan selepas cubaan meloloskan diri, di Lebuhraya PLUS, Bandar Baharu, Kedah.
Dua daripada mangsa yang maut itu terdiri daripada kanak-kanak manakala selebihnya dewasa.
Dalam keadaan gelap kebanyakan mereka hanya berjalan tanpa tujuan dengan ada antaranya menghala ke lebuh raya tanpa menyedari kenderaan yang bergerak laju. – SB
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.