Notice: Function _load_textdomain_just_in_time was called incorrectly. Translation loading for the google-analytics-for-wordpress domain was triggered too early. This is usually an indicator for some code in the plugin or theme running too early. Translations should be loaded at the init action or later. Please see Debugging in WordPress for more information. (This message was added in version 6.7.0.) in /home/satuberita.my/public_html/wp-includes/functions.php on line 6121
Kerajaan kekalkan subsidi haji untuk semua jemaah - Idris -

Kerajaan kekalkan subsidi haji untuk semua jemaah – Idris

KERAJAAN masih mengekalkan subsidi haji seperti sebelum ini walaupun terdapat cadangan supaya ia diberi secara bersasar, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Idris Ahmad.

“Cadangan kita setakat hari ini, kita masih kekal bagi bantuan haji kepada semua golongan dan akan ada formula diberi nanti.

“Kita tidak letak nama subsidi, kita namakan bantuan haji. Ini bukan duit kerajaan sebaliknya subsidi itu diambil daripada keuntungan penyimpan (pendeposit),” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Pusat Pembangunan Keluarga Mawaddah Kelantan (Mawaddah Centre) di sini hari ini.

Sebelum ini, media melaporkan terdapat pihak mencadangkan supaya melaksanakan pemberian subsidi secara bersasar dengan keutamaan kepada golongan B40 mengambil kira kos seorang jemaah muassasah dijangka meningkat hingga RM25,000 dan bayaran jemaah RM9,980 subsidi yang ditanggung Tabung Haji amat besar.

Mengulas lanjut, Idris berkata mengenai jumlah kos jemaah perlu membayarnya, ia akan diumumkan selepas mendapat kuota haji daripada kerajaan Arab Saudi.

“Insya-Allah, ia tidak membebankan jemaah dan pada masa sama, saya juga ada memohon untuk menambah bilangan kuota haji termasuk menghantar surat rayuan kepada kerajaan Arab Saudi,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Idris berkata kerajaan menerusi Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) akan mengadakan kerjasama dengan semua exco bahagian kekeluargaan di seluruh negeri bagi menangani perceraian rumah tangga di negara ini.

Beliau berkata kolaborasi tersebut melibatkan hal kaunseling dan kursus Program Pembangunan Pengajar (TOT).

“Kita akan mengadakan satu program kepada mereka yang terlibat manakala satu lagi program melibatkan bimbingan daripada kaunselor bertauliah.

“Memang kita menanganinya bukan sahaja secara mendidik malah menghalang perkara tidak diingini berlaku,” katanya ketika diminta mengulas mengenai laporan media berhubung masalah seksual yang berlaku dalam kalangan wanita antara punca kes perceraian tertinggi di Malaysia terutama di Kelantan dan Selangor.

— BERNAMA