Gerai mi bazar Ramadan Putrajaya diarah tutup bermula semalam

0
332

GERAI menjual mi di bazar Ramadan yang tular setelah pembeli menemukan ulat, telah dikenakan arahan penutupan di bawah Seksyen 11 Akta Makanan 1983 bermula semalam (15 April) kerana didapati tidak bersih, kata Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Arahan penutupan sementara di bawah akta itu adalah selama dua minggu bagi kerja pembersihan serta meningkatkan tahap keselamatan makanan dan premis dibenarkan beroperasi semula sebelum tempoh berkenaan sekiranya tahap kebersihan dan keselamatan makanan adalah memuaskan, katanya.

Beliau dalam kenyataan hari ini berkata kompaun turut dikeluarkan terhadap seorang pekerja gerai berkenaan yang didapati tidak mengambil suntikan anti-tifoid.

Tular di media sosial seorang pembeli mendakwa menemui ulat dalam mi sotong yang dibelinya pada harga RM30 di Bazar Ramadan Putrajaya di sini.

Perbadanan Putrajaya (PPj) pada 14 April telah mengeluarkan notis amaran di bawah UUK 30(1)(c), Undang-Undang Kecil Pelesenan Penjaja (WP Putrajaya) 2016 kepada peniaga berkenaan.

Beliau berkata peniaga berkenaan juga didapati mempunyai premis makanan di Cyberjaya yang mana bahan mentah dimasak dan disimpan sebelum dipasarkan di bazar tersebut, dan Kementerian Kesihatan (KKM) akan menjalankan pemeriksaan serta siasatan bagi mendapatkan maklumat lanjut berkenaan pengendalian keselamatan makanan di premis tersebut.

Berhubung aduan pencemaran kuih limas di Perak, Dr Noor Hisham berkata KKM telah membuka kertas siasatan ke atas pengeluar kuih limas terlibat bagi tujuan pendakwaan mengikut Akta Makanan 1983.

Kejadian yang turut tular itu didapati berlaku di Bazar Ramadan Teluk Intan dan pembeli mendakwa menemukan gumpalan rambut dalam kuih limas dibelinya dari bazar berkenaan.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Sains, Alam Sekitar  dan Teknologi Hijau Perak Mohd Akmal Kamarudin pada 14 April lepas berkata sampel makanan kuih limas itu akan dihantar untuk analisis makmal bagi tujuan siasatan kes.

Menerusi Operasi Ramadan 2022 seluruh negara, Dr Noor Hisham berkata 4,362 premis bazar Ramadan telah diperiksa dan 77 notis kompaun dengan nilai RM38,500 telah dikeluarkan bagi kesalahan di bawah Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009.

“Sebanyak 178 sampel makanan juga telah diambil untuk dianalisis,” katanya serta menasihatkan orang ramai agar membeli makanan di premis makanan yang bersih.

Beliau berkata peniaga makanan didapati tidak mematuhi kehendak di bawah Akta Makanan 1983 dan peraturan-peraturan di bawahnya, boleh dikenakan denda tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak melebihi 10 tahun atau kedua-duanya sekali.

— BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here