MELIHATKAN satu persatu rakan-rakan artis terjerumus dengan najis dadah sebenarnya membuatkan hatinya pilu. Bagi penyanyi Ezad Lazim, apa yang dilalui oleh mereka merupakan satu ujian yang harus dilalui untuk mendewasakan mereka.
Dia sendiri pernah melalui fasa gelap apabila terjerumus dengan dadah hampir enam tahun. Dalam fasa itu, pelbagai keperitan sudah dilalui dan menjadi titik penyesalan terbesar dalam hidupnya.
“Apabil kita salah percaturan, macam-macam perkara boleh terjadi. Dan apa yang saya lalui adalah kesalahan sendiri sehingga membuatkan kehidupan tunggang langgang.
“Enam tahun saya menjadi hamba dadah dan pelbagai liku sudah saya tempuhi. Kalau boleh elak, jangan sesekali mencuba kerana buruk padahnya,” kata Ezad berterus terang.
Jika ada yang masih ingat, bekas vokalis kumpulan Exist ini pernah ditangkap kerana memilik dadah jenis syabu.
Pada 2014, dia dihukum denda sebanyak RM3,500 dan berada di bawah pengawasan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) selama dua tahun.
Mengakui itu merupakan fasa hitam bukan sahaja kepada hidupnya malah kepada kerjaya seni sendiri, Ezad kini bangkit meneruskan hidup tanpa menoleh kebelakang lagi.
“Apa sahaja yanh berlaku, kita perlu sokongan orang sekeliling untuk terus memperbaiki diri. Jika tidak, masalah lain pula akan berlaku.
“Saya beruntung kerana mempunyai isteri yang sentiasa memberikan sokongan dan nasihat untuk terus berubah. Ditambah dengan sokongan peminat, itu membuatkan saya bangkit semula.

“Jika tidak mungkin saya sendiri sudah hilang daripada industri. Bukan mudah untuk melepaskan diri daripada fasa gelap, tapi saya berjaya harunginya,” kata Ezad lagi.
Pun begitu, Ezad berterima kasih kepada orang yang masih percaya kepada dirinya dan masih menerima karya-karya nyanyiannya sejak dahulu.
Tambahnya, itu yang sering kali memberikan semangat kepada dia untuk menjadi insan yang berguna dan terus berbakti kepada masyarakat.
“Terima kasih kepada semua yang sentiasa menyokong saya dan memberikan kata-kata positif. Semoga saya terus diberikan kesihatan yang baik untuk menghiburkan semua,” tambahnya lagi.–SB
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.