Tarikh debat Najib-Anwar diumum hujung minggu ini

TARIKH debat antara bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkaitan isu Sapura Energy Bhd (SEB) akan diumumkan dalam satu sidang akhbar pada hujung minggu ini.

Menurut Pengarah Komunikasi Parti Keadilan Rakyat (PKR), Fahmi Fadzil, sidang akhbar tersebut akan turut mengumumkan lokasi dan pihak media yang bakal menyiarkan debat berkenaan.

“Perkara itu telah dibincangkan secara bersama dengan wakil Najib iaitu Isham Jalil yang merupakan Ketua Penerangan Barisan Nasional (BN) Selangor.

“Semalam, 13 April 2022, dalam pertemuan pukul 4 petang (Isham bertiga, saya juga bertiga), saya ulang pendirian Datuk Seri Anwar supaya debat diadakan secepat mungkin dalam bulan Ramadan dan Isham tetap dengan pandangan masa sesuai ialah selepas raya.

“Beberapa tarikh khusus dibincang tapi belum di muktamad. Kami juga bersetuju permakluman debat akan dibuat secara bersama dalam satu sidang media hujung minggu ini. Jadi, sebarang tarikh yang dibayangkan Isham atau Datuk Seri Najib itu belum dipersetujui atau disahkan.

“Bukan fait accompli. Kita ikutlah proses. Isham ada dua saksi, saya pun ada dua saksi. Tapi saya tak tahu lah kalau admin Facebook berbayar Datuk Seri Najib antara dua saksi semalam. Jadi kita tunggu pengumuman rasmi bersama hujung minggu ini,” katanya.

Ahli Parlimen Lembah Pantai itu berkata demikian menerusi satu hantaran dalam Facebook miliknya, hari ini, lapor Sinar Harian.

Fahmi berkata, menerusi dua siri pertemuan yang diadakan, Isham tetap dengan pendiriannya untuk mengadakan debat selepas bulan Ramadan.

Tambah beliau, bekas pegawai khas Najib itu juga mencadangkan agar acara tersebut dilaksanakan dengan menggunakan format wacana dan bukannya debat.

Anwar dan Najib sebelum ini telah menyatakan persetujuan untuk berdebat mengenai isu keperluan untuk menyelamatkan syarikat minyak dan gas kedua terbesar di dunia, SEB yang ketika ini mengalami krisis kewangan yang teruk.

SEB yang juga sebuah syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dilaporkan mencatat kerugian sebanyak RM8.9 bilion pada tahun kewangan berakhir 31 Januari 2022.