Sesalan Amelina kecewakan keluarga 

0
430

MESKIPUN peristiwa hitam tersebut sudah lama berlalu, namun sesalan yang dirasakan oleh penyanyi Amelina nampaknya masih bersisa.

Dia yang memperingati ulang tahun kelahiran arwah bapanya, Allahyarham Amir Saripuddin Abdul Rauf baru-baru ini menitipkan pesanan ‘pilu’ untuk lelaki yang paling dikasihinya itu.

Sebagai anak, dia mengakui tidak pernah lari daripada kesilapan tatkala mengecewakan hati ayah dan seluruh keluarganya seperti mana yang diketahui umum satu ketika dahulu.

“Abah, along mintak maaf segala kesalahan along. Along dah kecewakan hati Abah dan Mak. Along abaikan cita-cita Along dan keluarga. Along tinggalkan semuanya selama 15 tahun.

“Along dah kecewakan harapan keluarga, lupa janji-janji pada mak dan abah. Tapi itu bukan kehendak along. Along tau apa yang dibuat dulu itu salah tapi terbelenggu dengan takdir sendiri,” tulisnya.

Walaupun berat menerima ketentuan takdir, Amelina mengakui sudah menerima segala-galanya dengan hati yang paling tenang meskipun mengambil masa yang lama untuk menerimanya.

Berharap dia terus kuat dan tabah melalui hari-hari mendatang bersama anak-anak dan ahli keluarga lain yang masih hidup.

“Abah, sekarang along dah pun terima apa yang patut terima dari segala perbuatan. Dan along reda, along tau abah tetap sayang along kan?

“Mak selalu cakap abah tak pernah lupa mendoakan along masa along tak ada dulu. Along nak abah tau semua anak-anak dan cucu tak pernah lupakan abah.

“Segala kasih sayang dan pengorbanan abah sentiasa di hati jadi kekuatan kami. Tenanglah di sana, doa kami sebagai penyambung kasih kita sekeluarga,” akhirinya.

Terdahulu kisah Amelina pernah menggemparkan negara apabila menghilangkan diri dari dunia seni pada awal 2000, ketika namanya berada di puncak.

Dia yang bernikah ketika itu terus menyepikan diri daripada industri dan meraikan diri daripada keluarga sendiri sebelum membuat kemunculan semula pada 2014. – SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here