MPN gesa segera proses kelulusan permohonan pekerja asing, pulih kerugian industri

MAJLIS Pemulihan Negara (MPN) menggesa supaya disegerakan proses kelulusan bagi permohonan-permohonan bagi pekerja asing dalam memulihkan kerugian yang dialami pengusaha-pengusaha industri.

Antara yang terkesan akibat kekangan tenaga kerja yang mendesak setelah ekonomi dibuka sepenuhnya adalah pengusaha-pengusaha industri dalam sektor perladangan, perkilangan dan perkhidmatan 

Pengerusi MPN, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, proses kelulusan pekerja asing harus disegerakan bagi menampung keperluan pekerja oleh industri-industri yang mendesak.

“Sebagai langkah jangka pendek, Majlis mencadangkan supaya kelulusan bersyarat boleh diberikan kepada permohonan yang sedang diproses untuk menyegerakan bekalan tenaga kerja asingkepada sektor-sektor yang terjejas.

“Dalam jangka masa panjang, Majlis berpandangan isu struktural kekurangan tenaga kerja dan kebergantungan kepada tenaga kerja asing perlu ditangani secara menyeluruh,” katanya dalam sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat MPN di Kementerian Kewangan, Putrajaya, pada Khamis.

Dalam pada itu menurutnya, MPN berpandangan inisiatif bantuan yang diberikan kepada Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) yang terjejas akibat pandemik Covid-19 dan bencana banjir supaya disediakan mengikut keutamaan.

“Mesyuarat mencadangkan supaya pihak Kementerian mengenal pasti sektor-sektor yang paling terjejas bagi memastikan inisiatif-inisiatif boleh diubahsuai dan disasarkan

“Ini bagi memastikan sektor-sektor ini tidak ketinggalan dalam usaha pemulihan negara,” katanya.

Tambah beliau, yang turut menjadi mangsa kesan pandemik Covid-19 merupakan golongan pelajar dan kanak-kanak yang ketinggalan dan keciciran pembelajaran.

Muhyiddin berkata, MPN telah memberi memberi pertimbangan dan pada dasarnya menyokong cadangan-cadangan yang dibentangkan bagi menangani isu-isu yang dihadapi golongan pelajar dan kanak-kanak kesan penularan Covid-19.

Menyentuh berkenaan penggunaan MySejahtera, MPN mengesyorkan Kementerian Kesihatan (KKM) mengkaji penggunaan aplikasi MySejahtera sebagai alat pengesanan kontak rapat.

Muhyiddin berkata ini kerana negara kini sudah berada dalam fasa peralihan endemik.

Aplikasi MySejahtera diperkenalkan pada April 2020, antaranya sebagai usaha kerajaan memutuskan rantaian jangkitan Covid-19, dengan fungsi membantu pengguna mengenal pasti tahap kesihatan sepanjang penularan wabak itu. – SB