Kontraktor wanita rugi hampir RM300,000 diperdaya ‘pegawai insurans’

SEORANG kontraktor wanita dari Beaufort, Sabah kerugian RM294,118 selepas terpedaya dengan panggilan telefon yang menggunakan taktik ‘Macau Scam’, lima bulan lalu.

Mangsa yang juga warga emas menyedari ditipu apabila cuba membuat pengeluaran dari bank akaun miliknya, semalam.

Ketua Polis Daerah Beaufort Deputi Superintendan Yusoff Zaki Mat Yaacob berkata, berdasarkan laporan, mangsa, 60, mendakwa menerima panggilan daripada orang tidak dikenali pada 12 November lalu.

Katanya, pemanggil berkenaan mengaku sebagai pegawai insurans dan mendakwa mangsa ada membuat tuntutan insurans sebanyak RM75,000 yang mencurigakan.

“Panggilan kemudiannya disambung kepada seorang lagi individu yang mengaku sebagai pegawai polis dan memberitahu nama mangsa terbabit dengan pengubahan wang haram.

“Untuk ‘membersihkan’ nama, mangsa diminta membuka satu akaun bank yang baharu kononnya untuk tujuan siasatan,” katanya memetik laporan Harian Metro, hari ini.

Yusoff Zaki berkata, mangsa turut diminta mendaftarkan nombor telefon yang diberikan selain diarahkan supaya memberikan nombor akaun, nombor PIN dan kata laluan bank milik mangsa.

Katanya, mangsa turut diberi peringatan supaya tidak mengemas kini akaun milik mangsa serta tidak berhubung dengan orang lain kononnya bagi tujuan supaya tidak mengganggu siasatan polis.

“Bagaimanapun, selepas lima bulan, mangsa akhirnya menyedari ditipu apabila mendapati wang miliknya lesap ketika cuba membuat pengeluaran wang dari akaun bank, semalam.

“Mangsa terus membuat laporan polis dan siasatan lanjut masih dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya.