KEPUTUSAN Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO sebulat suara mencadangkan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai calon Perdana Menteri bagi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) bukan jaminan untuk Naib Presiden itu kekal memegang jawatan berkenaan pada masa akan datang.
Ahli MKT, Datuk Tajuddin Abdul Rahman, berkata apa saja boleh berlaku dengan memberi contoh pilihan raya negeri (PRN) Johor apabila Datuk Seri Hasni Mohammad yang dijadikan “poster boy” tidak dipilih sebagai menteri besar.
“Tetapi, tidak ada jaminan (Ismail jadi perdana menteri). ‘Poster boy’ di Johor dulu siapa? Hasni, tapi tak jadi pun (MB), tapi kita doakan yang terbaiklah, kita tak mahu bersangka buruk.
“Kalau itu keputusannya yang tujuannya baik, akan memberi ruang dan peluang kepada Ismail untuk jadi PM pada PRU akan datang, tapi bila sudah lepas pilihan raya ada pula orang pergi sana, pergi sini dia pula nak jadi PM, ini mungkin terjadi.
“Jadi, saya persoalkan dalam mesyuarat MKT, tapi kalau terbukti ada jaminan, tidak ada masalah, kita sokong. Saya penyokong kuat Ismail sejak mula.
“Kalau bukan Ismail siapa pun boleh jadi. Dalam politik ini, ramai orang bercita-cita tinggi, semua berharap macam saya. Saya pun bercita-cita juga, tapi taklah nak jadi perdana menteri,” katanya pada sidang media selepas mesyuarat MKT seperti dilaporkan FMT.
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.