Notice: Function _load_textdomain_just_in_time was called incorrectly. Translation loading for the google-analytics-for-wordpress domain was triggered too early. This is usually an indicator for some code in the plugin or theme running too early. Translations should be loaded at the init action or later. Please see Debugging in WordPress for more information. (This message was added in version 6.7.0.) in /home/satuberita.my/public_html/wp-includes/functions.php on line 6121
Maut kemalangan, dipercayai sewaktu mencari pencuri -

Maut kemalangan, dipercayai sewaktu mencari pencuri

Oleh RIZQI ZABIDI

Seorang peniaga kedai runcit maut apabila terbabit dalam kemalangan setelah dikatakan keluar bagi mencari pencuri di Kampung Mengkuang Hujung, Jalan Parit Panjang menuju ke Kuala Pegang di Baling, Kedah semalam.

Ketua Polis Daerah Baling, Superintendan Shamsudin Mamat berkata, mangsa yang dikenali sebagai Mohd. Rosdi Md. Darus maut di lokasi kejadian setelah motosikal jenis Honda ditunggangnya terbabas lalu merempuh sebuah tiang elektrik.

Menurutnya, pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian itu setelah menerima panggilan telefon dari orang awam pukul 6.59 petang semalam.

“Mengikut keterangan awal isteri mangsa, Mohd. Rosdi ketika itu keluar mencari pencuri sebaik mendapat tahu terdapat pencuri yang melarikan diri.

“Namun sama ada kejadian berlaku ketika mangsa mengejar pencuri, itu tidak dapat disahkan kerana tiada saksi yang melihat mangsa sedang mengejar pencuri,” katanya.

Tambahnya, pihak polis bagaimanapun sedang mengumpulkan segala maklumat berkaitan kejadian tersebut.

“Setakat ini isteri mangsa atau mana-mana individu belum membuat laporan polis berkaitan kejadian curi seperti yang didakwa,” katanya.

Mayat mangsa telah dihantar ke Bahagian Forensik Hospital Kulim untuk tujuan bedah siasat dengan kejadian itu disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – SB