Lebihan pendapatan puluhan ribu ringgit dorong Zahid Hamidi tubuh Yayasan Akalbudi

0
232

PENUBUHAN Yayasan Akalbudi adalah khusus untuk membuat kerja amal jariah, dan tujuan-tujuan memenuhi tuntutan agama, Mahkamah Tinggi diberitahu pada Rabu.

Bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, idea berkenaan tercetus sekitar tahun 1990-an berikutan pendapatan yang diterimanya setiap bulan mencecah RM120,000, namun, hanya sebahagian kecil daripada jumlah itu diperuntukkan untuk kegunaan diri dan keluarga.

Menurutnya, selebihnya itu disalurkan sebagai sedekah, wakaf, infaq dan aktiviti amal jariah bagi tujuan-tujuan agama serta kebajikan.

“Pada ketika itu, saya memperoleh pendapatan lebih kurang RM120,000 sebulan dan saya hanya menggunakan lebih kurang RM30,000 hingga RM40,000 bagi kegunaan diri dan keluarga saya.

“Bakinya saya gunakan untuk sedekah, wakaf, infaq dan aktiviti amal jariah bagi tujuan-tujuan agama serta kebajikan.

“Atas dasar untuk melakukan kerja amal jariah dan tujuan-tujuan agama inilah saya telah menubuhkan satu yayasan yang dinamakan sebagai Yayasan Budi (kemudian dikenali sebagai Yayasan Akalbudi) pada tahun 1997,” katanya menurut laporan Astro Awani.

Ahli Parlimen Bagan Datuk itu berkata demikian sewaktu membaca keterangan bersumpahnya setebal 27 mukasurat, dari tempat duduk saksi, yang membolehkan pihak pendakwaan menyoal tertuduh semasa pemeriksaan balas.

Media sebelum ini melaporkan Ahmad Zahid akan menjawab 47 pertuduhan yang dihadapi beliau membabitkan pecah amanah (CBT), rasuah dan pengubahan wang haram berkaitan dana Yayasan Akalbudi.

Beliau memilih untuk memberi keterangan secara bersumpah dari tempat duduk saksi yang membolehkan pihak pendakwaan menyoal tertuduh semasa pemeriksaan balas.

Pada 24 Januari lalu, Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Collin Lawrence Sequerah memerintahkan Ahmad Zahid membela diri atas 12 pertuduhan CBT, lapan pertuduhan rasuah dan 27 untuk pengubahan wang haram membabitkan puluhan juta ringgit milik yayasan itu, selepas mendapati pihak pendakwaan telah membuktikan kes prima facie terhadapnya.

Dalam penghakimannya, Sequerah berkata, pihak pendakwaan telah membuktikan semua unsur dalam kesemua pertuduhan dan berjaya mewujudkan kes prima facie terhadap tertuduh.

Terdahulu Ahmad Zahid menerangkan, penubuhan yayasan tersebut adalah sewaktu beliau berkhidmat dalam dunia korporat antara lain sebagai Pengerusi Bank Simpanan Nasional dan Ketua Pegawai Eksekutif untuk Kretam Holding Bhd, Tekala Corporation Bhd, Ramatex Bhd dan Seng Hup Bhd.

Beliau berkata, tujuan penubuhan Yayasan Akalbudi adalah bagi melaksanakan kerja-kerja keagamaan dan kebajikan bagi semua golongan yang memerlukan, dan tidak tertumpu hanya kepada penduduk kawasan Parlimen Bagan Datuk semata-mata.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid berkata, beliau tidak pernah mengarahkan sesiapa sahaja untuk menggunakan dana-dana Yayasan Akalbudi bagi tujuan-tujuan peribadinya.

“Perbelanjaan dan tanggungan Yayasan Akalbudi ditanggung oleh saya secara peribadi. Saya juga menyatakan bahawa Yayasan Akalbudi ini adalah suatu amanat dari ayahanda dan ibunda saya yang saya pegang sehingga ke hari ini,” katanya lagi.

Ketika menerangkan mengenai pendapatan yayasan tersebut, Ahmad Zahid berkata, pada peringkat awal, beliau sendiri menyumbangkan sebahagian besar daripada gaji dan simpanannya, termasuk keuntungan dan penjualan saham sejak bergiat aktif dalam dunia korporat.

Katanya lagi, Yayasan Akalbudi tidak ditubuhkan untuk memegang suatu amanah mana-mana pihak secara spesifik.

“Ianya terbuka kepada sesiapa yang memerlukan dan penukaran nama Yayasan Budi kepada Yayasan Akalbudi itu bertujuan untuk mengembangkan lagi capaian yayasan tersebut termasuk untuk membuat sekolah-sekolah tahfiz, pusat pendidikan agama dan bukan agama serta apa-apa aktiviti lagi amal jariah yang boleh dilaksanakan.

“Oleh itu, secara umumnya, Yayasan Akalbudi menerima masuk segala bentuk sumbangan, dana daripada mana-mana pihak yang ingin membuat sumbangan bagi tujuan kebaikan dan amal jariah,” katanya lagi.

Ahmad Zahid juga berkata, Yayasan Akalbudi tidak pernah sama sekali meminta tetapi hanya mempromosikan kepada mana-mana individu mahupun syarikat bahawa mereka boleh menyumbang dana kepada Yayasan Akalbudi.

Namun, jelasnya lagi, Yayasan Akalbudi tidak pernah sama sekali menyekat dan menghalang mana-mana pihak daripada menyumbang kepada badan tersebut. 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here