1MDB: Rohana setuju pulangkan USD10 juta wang 1MDB

0
190

BEKAS Ketua Pegawai Eksekutif Astro Malaysia Holdings Bhd, Rohana Rozhan dikatakan secara dasarnya bersetuju menyerahkan semula wang USD10 juta diberikan oleh bekas pegawai bank Goldman Sachs Group Inc. itu.

Menurut sumber, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kini giat mendapatkan wang terbabit selepas Rohana bersetuju menyerahkan aset dimilikinya daripada Leissner yang menggunakan dana 1Malaysia Development Bhd (1MDB).

“Proses mendapatkan aset berkenaan giat dilakukan SPRM ketika ini,” kata sumber itu, menurut laporan Free Malaysia Today (FMT) yang memetik laporan Utusan Malaysia.

Rohana sebelum ini dikatakan menjalin hubungan dengan Bekas pegawai bank Goldman Sachs, Tim Leissner yang merupakan saksi utama pendakwaan jenayah berkaitan kes penyelewengan dana syarikat pelaburan strategik negara 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Ketika memberi keterangan di mahkamah di New York, Leissner berkata, dia memberi Rohana USD10 juta di mana wanita itu membeli rumah bernilai USD7 juta di Montpelier Street, London.

Siasatan terhadap 1MDB yang dianggap skandal kewa­ngan terbesar di dunia menyaksikan berbilion dolar dana agensi itu diseleweng pelbagai pihak.

Keterangan Leissner dalam perbicaraan kes bekas pegawai bank Goldman Sachs, Roger Ng berkaitan 1MDB di Amerika Syarikat (AS) mendorong SPRM mengambil keterangan daripada Rohana, Februari lalu.

Rohana sebelum ini menyatakan kesediaan untuk membantu pihak berkuasa dan SPRM dalam siasatan kes itu.

SPRM memaklumkan kes itu disiasat mengikut Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pembiayaan Keganasan 2001.

Isu berkaitan rumah di London dan nama Rohana disebut oleh bekas Pegawai Bank Goldman Sachs Group Inc Tim Leissner yang mendakwa mereka mempunyai hubungan sejak 2003 hingga 2013 dan berakhir apabila Leissner berkahwin dengan selebriti Kimora Lee.

Leissner mengaku bersalah pada 2018 kerana terbabit dalam pelanggaran undang-undang anti-rasuah AS dan konspirasi pengubahan wang.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here