Notice: Function _load_textdomain_just_in_time was called incorrectly. Translation loading for the google-analytics-for-wordpress domain was triggered too early. This is usually an indicator for some code in the plugin or theme running too early. Translations should be loaded at the init action or later. Please see Debugging in WordPress for more information. (This message was added in version 6.7.0.) in /home/satuberita.my/public_html/wp-includes/functions.php on line 6121
PDRM terima 35 laporan 45 warga tempatan terkandas di luar negara -

PDRM terima 35 laporan 45 warga tempatan terkandas di luar negara

POLIS akan berusaha untuk membebaskan 45 lagi rakyat Malaysia yang dipercayai menjadi ‘tawanan’ atau ditahan secara paksa di negara-negara Asia Tenggara termasuk Thailand, Laos, Myanmar dan Kemboja.

Ini susulan kepulangan 12 rakyat Malaysia ke tanah air hari ini yang didakwa ditahan secara paksa oleh sindiket jenayah di Kemboja.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Abd Jalil Hassan berkata, polis menerima 35 laporan berhubung 45 lagi individu yang disyaki masih menjadi tawanan di luar negara.

“Kami akan terus bekerjasama dengan Aseanapol dan pihak berkuasa lain untuk membawa mereka pulang,” katanya kepada pemberita di klia2.

Jalil berterima kasih kepada pihak berkuasa Kemboja, Aseanapol dan Kementerian Luar atas bantuan mereka dalam menyelamatkan 16 rakyat Malaysia baru-baru ini.

Hanya 12 orang tiba di klia2 pagi ini kerana empat lagi sedang menjalani kuarantin di Kemboja selepas disahkan positif Covid-19.

Jalil berkata, polis akan merekodkan keterangan daripada 12 individu ini untuk mengetahui apa yang berlaku.

Minggu lepas, beliau mengumumkan bahawa polis Kemboja telah menyelamatkan 16 rakyat Malaysia, termasuk seorang wanita, pada 5 April.

Beliau berkata, semua 16 individu, yang berusia antara 19 dan 43 tahun, dipaksa bekerja sebagai “scammer”.

“Semua mangsa mendakwa diperdaya iklan pekerjaan sebagai pegawai khidmat pelanggan di Kemboja dengan tawaran gaji lumayan dan segala kos perjalanan ditanggung syarikat di Kemboja,” katanya dalam kenyataan.

“Setelah tiba di Kemboja, dokumen perjalanan mangsa dirampas, pergerakan dikawal dan dikurung dengan kawalan ketat. Siasatan awal polis mendapati mangsa dipaksa bekerja sebagai scammer,” katanya.