KIRA-kira 100 bekas pekerja subsidiari National Aerospace & Defence Industries Sdn Bhd mengadakan mogok di tengah hujan semalam di depan bangunan syarikat itu di Subang bagi mendesak pampasan dan gaji mereka yang tertunggak dibayar syarikat.
Malaysiakini melaporkan mereka adalah bekas pekerja SME Ordnance Sdn Bhd, iaitu anak syarikat National Aerospace & Defence Industries Sdn Bhd dan ini mogok ketiga yang dilakukan sejak 2017.
Semalam, para pekerja yang diketuai Kesatuan Kebangsaan Pekerja Industri Petroleum dan Kimia (NUPCIW) enggan bersurai sehinggalah mereka diberi jaminan bertulis bahawa mereka akan menerima gaji tertunggak selewat-lewatnya Jumaat ini (15 April).
Mereka yang datang dengan konvoi 25 kereta dari Batu Arang mula mengadakan mogok pada tengah hari, pada mulanya mendesak syarikat membayar gaji yang tertunggak untuk tiga hingga empat bulan.
Mereka juga menuntut pampasan diberhentikan kerja, elaun yang tidak dibayar, caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).
Cuaca yang panas bertukar mendung dan hujan namun peserta enggan bersurai. Mereka sebaliknya berlindung di dalam kereta atau menggunakan payung.
Setiausaha Agung NUPCIW Abdul Halim Mansor berkata syarikat gagal mematuhi tarikh akhir membuat pembayaran seperti yang ditetapkan oleh Jabatan Tenaga Kerja Rawang.
“Jadi kali ini, kita tidak akan beredar sehingga dapat memorandum persefahaman (MOU) bertandatangan yang bayaran akan dibuat sebelum atau pada Jumaat ini,” katanya.
SME Ordnance setuju dengan perkara itu dan wakil syarikat yang hanya dikenali sebagai Hairizal menyerahkan MOU yang ditandatangani CEO syarikat, Ahmad Nadzer Nordin kepada mereka.
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.