Umrah dan haji, PU Amin sedia kongsi ilmu

BERPENGALAMAN luas dalam bidang mutawif membantu orang ramai mengerjakan haji dan umrah, sememangnya memberikan kelebihan kepada PU Amin sejak dahulu lagi.

Maka tidak hairanlah dia bersetuju apabila diberikan peluang untuk mengajar kursus Diploma Pengurusan Haji dan Umrah di YEG Academy sejak tiga tahun yang lalu.

“Saya berpengalaman dalam bidang umrah dan menjadi mutawif selama sembilan tahun. Pendidikan adalah salah satu bidang yang dekat dengan jiwa saya.

“Justeru, saya terima tawaran ini dan mahu berkongsi manfaat bersama para pelajar. Tambahan trend hari ini lebih ramai orang muda menunaikan umrah, jadi permintaan terhadap mutawif muda cukup tinggi,” katanya.

Jelasnya lagi, sejak bergelar Pensyarah Kanan di akademi berkenaan, dia gembira kerana dapat menyalurkan banyak ilmu berkaitan dengan ibadah berkenaan kepada para pelajar.

Kebanyakan mereka yang terdiri daripada golongan muda begitu bersemangat menimba ilmu dan membuatkan dia gembira dapat melahirkan lebih ramai mutawif profesional dari semasa ke semasa.

PU Amin atau nama sebenarnya Mohamad Amirul Amin Maula Lokman Hakim mendapat pendidikan di Universiti Al Azhar, Mesir dia juga memiliki ijazah sarjana dari Open University Malaysia dalam bidang Pengajian Islam.

“Kelayakan untuk menjadi pensyarah kanan di kolej sudah mencukupi dan tiada isu. Berbeza jika universiti awam untuk menjadi pensyarah kanan kelayakan yang diperlukan adalah Doktor Falsafah (PHD),” jelasnya.

Selain PU Amin, suami kepada Neelofa, PU Riz juga turut dilantik sebagai Penyarah Kanan dan mengajar kursus yang sama.

Bagi Pengasas YEG Academy, Hasan Ithnin berkata, pemilihan dua pendakwah selebriti berkenaan bukanlah kerana popularti semata-mata, sebaliknya mereka turut berkongsi perjuangan yang sama dengan pihaknya.

“Pihak kami tidak mengambil mereka berdua sebab popular sahaja, tetapi kami duduk berbincang dan melihat misi kehidupan yang diinginkan.

“Malah, kami mewujudkan Diploma Pengurusan Haji dan Umrah ini bukan kerana wang semata-mata, sebalik terdapat perjuangan yang perlu diteruskan sebagai orang Islam.

“Insya-Allah dengan adanya gandingan PU Amin dan PU Riz yang merupakan dua tokoh muda diharap pihak kami dapat melahirkan anak-anak muda yang luar biasa dalam pengajian ini,” ujar Hasan.

Dia berkata demikian ketika ditemui sempena pelancaran YEG Pesta Sambung Belajar #jangantersalahpilihbidang yang dilancarkan semalam di Royale Chulan Damansara, Selangor baru-baru ini.

Menariknya, pelajar tahun akhir Diploma Pengurusan Haji dan Umrah di YEG Academy akan dihantar ke Mekah dan Madinah untuk menjalani latihan industri di sana bersama syarikat pelancongan Islamik terkemuka seperti Andalusia Travel and Tours.–SB