Notice: Function _load_textdomain_just_in_time was called incorrectly. Translation loading for the google-analytics-for-wordpress domain was triggered too early. This is usually an indicator for some code in the plugin or theme running too early. Translations should be loaded at the init action or later. Please see Debugging in WordPress for more information. (This message was added in version 6.7.0.) in /home/satuberita.my/public_html/wp-includes/functions.php on line 6121
Kes Rumah Bonda: Hakim, pendakwaan dan pembelaan ke lokasi Adik Bella dianiaya Rabu ini -

Kes Rumah Bonda: Hakim, pendakwaan dan pembelaan ke lokasi Adik Bella dianiaya Rabu ini

BAGI mendapatkan gambaran yang lebih jelas berkenaan lokasi kejadian kes pengasas Rumah Bonda, Siti Bainun Ahmad Razali, hakim bersama pihak pendakwaan dan pembelaan yang mengendalikan kes itu akan ke sebuah unit kondominium di Wangsa Maju, Kuala Lumpur pada Rabu ini.

Unit kondominium berkenaan dikatakan lokasi kejadian seorang kanak-kanak Sindrom Down, Bella didakwa dianiaya dan diabaikan.

Keputusan itu dibuat selepas hakim, Izralizam Sanusi membenarkan permohonan peguam Nur A’minahtul Mardiah Md. Nor yang mewakili Siti Bainun pada minggu lalu untuk ke lokasi kejadian.

Izralizam dalam keputusannya berkata, mahkamah membenarkan permohonan tersebut bagi mendapatkan gambaran yang lebih jelas berdasarkan gambar-gambar tempat kejadian yang dikemukakan sebelum ini.

“Adalah wajar untuk saya (mahkamah) pergi dan melihat serta merujuk kepada lokasi, saya akan lebih memahami, walaupun dalam gambaran yang diberi sudah jelas, tapi jika berkesempatan maka saya akan melihat eksibit-eksibit yang dirujuk dalam insiden,” katanya.

Hakim itu menambah individu-individu yang dibenarkan ke lokasi kejadian hanya pihak pendakwaan, peguam, saksi dan tertuduh.

Dalam prosiding minggu lalu Nur A’minatul mengemukakan permohonan itu dengan hujah bagi mendapatkan gambaran sebenar rumah tersebut selain saiz bilik dobi susulan banyak kejadian dilakukan tertuduh di bilik berkenaan seperti mana dakwaan saksi.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Zilfinaz Abbas membantah permohonan peguam itu dengan alasan kes ini sudah berada diperingkat perbicaraan dan bukan dalam siasatan selain ia tidak akan memprejudiskan kedua-dua pihak.

Sementara itu, menerusi satu kenyataan media, Nur A’minatul berkata lawatan ke lokasi Bella didakwa dianaya dan diabaikan adalah sangat penting apabila saksi pendakwaan kelima memberikan deskripsi yang sukar dizahirkan melalui gambar-gambar yang dikemukakan di Mahkamah.

Sebelum ini, saksi pendakwaan kelima yang juga bekas penghuni Rumah Bonda, Yasmin Nahar Mahmood, 19, dalam keterangannya memberitahu dia diarah oleh Siti Bainun supaya menggigit perut Bella.

Katanya, dia diarahkan sedemikian kerana Bella tidak mengikut arahan Siti Bainun untuk berdiri di bahagian dobi sebuah unit kondominium di Wangsa Maju.

Perbicaraan bagi kes berkenaan bersambung lagi pada Rabu ini.