Berikut adalah keks ucapan penuh Tan Sri Muhyiddin Yassin berhubung pembentangan Pindaan Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan di Dewan Rakyat:
- “Hari ini Dewan yang mulia ini akan meminda Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan yang membenarkan sebuah Akta Parlimen digubal bagi mengenakan sekatan-sekatan ke atas hak kebebasan berpersatuan berkaitan dengan kenggotaan parti ahli-ahli parlimen dan ahli-ahli dewan undangan negeri di negara kita.
- Pindaan ini tentunya akan memberikan kesan yang amat besar terhadap hak kebebasan berpersatuan bagi rakyat di negara ini yang selama ini dipertahan dan dilindungi oleh Perlembagaan Persekutuan.
- Sekatan ke atas hak kebebasan asasi ini hanya boleh dibuat oleh sebuah Akta Parlimen atas sebab keselamatan negara, ketenteraman awam dan moral. Tidak ada alasan lain yang boleh digunakan untuk menyekat hak kebebasan seorang wakil rakyat samada untuk menubuhkan sebuah parti politik, menyertai parti politik, meninggalkan parti politik atau tidak menyertai mana-mana parti politik.
- Inilah precedent atau duluan kes yang menjadi prinsip undang-undang yang diterima di negara kita.
- Namun, jika Dewan yang mulia ini meluluskan Rang Undang-Undang Pindaan Perlembagaan yang dibentangkan pada hari ini, maka hak kebebasan asasi untuk berpersatuan yang termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan selama ini akan disekat dengan sekatan-sekatan yang akan diperincikan dalam sebuah Akta yang akan digubal kemudiannya.
- Semua Ahli Yang Berhormat yang berada di Dewan yang mulia ini pada hari ini memikul suatu beban tanggungjawab yang besar untuk sentiasa melindungi hak kebebasan asasi rakyat, termasuk hak kebebasan kita semua sebagai wakil rakyat.
- Justeru, pindaan Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan yang ada di hadapan kita pada hari ini bukanlah suatu perkara yang kecil. Ia bukan semata-mata suatu hal yang berkaitan dengan kepentingan politik atau kepentingan mana-mana parti, tetapi berkait dengan soal keadilan dan kebebasan yang mesti kita bela dan pertahankan.
- Kita berbahas pada hari ini mengikut naluri suara hati atau conscience kita sebagai Ahli Parlimen dan bukan berasaskan label parti politik.
- Pertimbangan kita yang paling utama ialah adakah undang-undang yang akan diperkenalkan ini adil atau sebaliknya? Adakah ianya baik untuk rakyat dan negara? Atau ia hanya akan memberi kelebihan kepada pihak-pihak tertentu sahaja atas tujuan kepentingan politik semata-mata.
- Apatah lagi Rang Undang-Undang ini akan membatasi hak asasi kita semua sebagai seorang individu dan juga Ahli Parlimen yang dijamin oleh Perlembagaan. Dengan izin, we are now giving up our fundamental right as an individual and a Member of Parliament that is guaranteed by the constitution.
- Justeru, hujah-hujah yang dikemukakan oleh semua Ahli Yang Berhormat di dalam Dewan yang mulia ini hendaklah diambilkira dengan penuh teliti sebelum Rang Undang-Undang ini diluluskan.
- Dalam siri libat urus mengenai Rang Undang-Undang ini, saya telah menyatakan beberapa pandangan saya. Antaranya, saya telah meminta kerajaan mengkaji semula definisi lompat parti. Saya tidak bersetuju seorang Ahli Parlimen yang dipecat dari partinya atau meninggalkan partinya atas apa jua sebab dikira sebagai lompat parti dan perlu mengosongkan kerusinya serta-merta.
- Ada banyak sebab seorang ahli Parlimen dipecat dari parti atau meninggalkan partinya. Ada yang dipecat kerana melanggar disiplin parti, atau kerana dengan izin cross the floor, atau kerana menyatakan sesuatu yang hak tetapi tidak disenangi oleh pemimpin parti lalu dipecat dari partinya, atau kerana partinya telah lari dari landasan prinsip perjuangannya yang sebenar serta memudaratkan rakyat dan negara.
- Keempat-empat situasi ini adalah berbeza. Kalau sekiranya undang-undang anti lompat parti terpakai dalam semua keadaan tanpa pengecualian, maka undang-undang yang diperkenalkan ini adalah zalim. Maka, pengecualian dan perlindungan tertentu mestilah diberikan kepada mana-mana Ahli Parlimen yang akan terkesan dengan undang-undang ini.
- Dalam Perlembagaan Persekutuan, seorang yang didapati bersalah oleh mahkamah pun boleh terus kekal sebagai Ahli Parlimen sehingga kesnya diputuskan oleh Mahkamah Persekutuan, dan sekiranya dia memohon untuk mendapatkan pengampunan, sehingga petisyen pengampunannya diputuskan yang keseluruhan prosesnya mungkin memakan masa bertahun. Tetapi seorang Ahli Parlimen yang menyuarakan kebenaran dan dipecat oleh partinya mesti mengosongkan kerusinya serta-merta. Tidak ada ruang untuk Ahli Parlimen ini mencabar keputusan partinya di mahkamah kerana adanya ouster clause dalam Seksyen 18C Akta Pertubuhan 1966. Rayuan hanya boleh dibuat kepada Majlis Tertinggi parti yang tentunya dikawal oleh pemimpin parti. Adakah ini adil? Is this fair?
- Saya fikir sekiranya inilah kedudukan undang-undang yang akan terpakai, maka tidak akan ada Ahli Parlimen yang berani menegur pemimpin parti yang melakukan kesilapan dan kemungkaran, yang mengamalkan rasuah dan penyelewengan, kerana bimbang akan dipecat dari parti dan seterusnya hilang kerusi Parlimen yang disandang. Ini akan menjadi suatu titik hitam dalam sejarah amalan demokrasi di negara kita. Dengan izin, members of parliament who represent the will of the people will be muted and silenced by the cabbal who controls a political party. We are putting the interests of a political party first before the people.
- Oleh yang demikian, sekiranya Rang Undang-Undang ini diluluskan oleh Dewan Yang Mulia ini, saya mencadangkan supaya ouster clause dalam Seksyen 18C Akta Pertubuhan 1966 dikaji semula untuk memberi ruang kepada Ahli Parlimen yang terkesan dengan undang-undang anti lompat parti mendapat keadilan di mahkamah sebelum beliau dikehendaki mengosongkan kerusinya.
- Saya juga berharap mana-mana kerajaan yang memerintah pada masa akan datang tidak akan sewenang-wenangnya menggunakan undang-undang anti lompat parti yang boleh dipinda dengan sokongan majoriti mudah bagi mendiskriminasi mana-mana Ahli Parlimen.
- Dalam apa jua keadaan pun, pertimbangan kita yang paling utama mestilah untuk menegakkan hak dan keadilan. Inilah fungsi utama Perlembagaan dan undang-undang di negara kita dan kita sebagai Ahli Parlimen adalah penjaga atau dengan izin, custodian, kepada Perlembagaan dan undang-undang.
- Oleh itu, walaupun saya secara dasarnya bersetuju supaya pindaan perlembagaan dibuat untuk membolehkan sebuah undang-undang yang menghalang tindakan lompat parti dalam kalangan Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri digubal, pindaan perlembagaan ini mestilah dibuat secara berhemah, teliti dan berhati-hati. Justeru saya menyokong Rang Undang-Undang ini dibawa ke Jawatankuasa Pilihan Khas untuk diteliti.
- Pindaan kepada Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan mestilah jelas maksudnya, iaitu untuk membuat sekatan hanya ke atas Ahli Parlimen yang merupakan ahli sebuah parti politik untuk meninggalkan partinya dan menyertai sebuah parti lain. Pindaan ini tidak boleh merangkumi perkara-perkara lain yang boleh dikira menyekat kebebasan berpersatuan Ahli-Ahli Parlimen dan Ahli-Ahli Dewan Undangan Negeri yang dibenarkan oleh Perlembagaan dan undang-undang.
- Saya khuatir sekiranya pindaan Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan ini merangkumi maksud yang terlalu luas, maka ia boleh disalahguna di kemudian hari untuk menafikan hak dan kebebasan Ahli-Ahli Parlimen dan Ahli-Ahli Dewan Undangan Negeri untuk menyatakan kebenaran dan mengambil pendirian dalam hal yang menyentuh kepentingan rakyat dan negara. – SB
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.