[VIDEO] Definisi lompat parti mesti jelas, jangan zalimi Ahli Parlimen – Muhyiddin

0
351

TAN Sri Muhyiddin Yassin bimbang kemungkinan undang-undang baharu berkaitan anti lompat parti disalahgunakan pihak tertentu untuk agenda peribadi dan menzalimi Ahli Parlimen (AP) atau Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun).

Berikutan itu, Pengerusi Perikatan Nasional (PN) ini mendesak Pindaan Undang-Undang Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan yang dibentangkan di Dewan Rakyat hari ini dibawa ke Jawatankuasa Pilihan Khas untuk diteliti.

Katanya, pindaan kepada Perkara 10 itu mestilah jelas maksudnya, iaitu untuk membuat sekatan hanya ke atas AP yang merupakan ahli sebuah parti politik untuk meninggalkan partinya dan menyertai sebuah parti lain.

“Pindaan ini tidak boleh merangkumi perkara-perkara lain yang boleh dikira menyekat kebebasan berpersatuan AP dan Adun yang dibenarkan oleh Perlembagaan dan undang-undang.
 
“Saya khuatir sekiranya pindaan ini merangkumi maksud yang terlalu luas, maka ia boleh disalahguna di kemudian hari untuk menafikan hak dan kebebasan AP dan Adun untuk menyatakan kebenaran dan mengambil pendirian dalam hal yang menyentuh kepentingan rakyat dan negara,” katanya ketika berucap di Dewan Rakyat hari ini.

Secara dasarnya, Muhyiddin bersetuju pindaan perlembagaan dibuat untuk membolehkan sebuah undang-undang yang menghalang tindakan lompat parti dalam kalangan AP dan Adun digubal, namun katanya ia mestilah dibuat secara berhemah, teliti dan berhati-hati.

“Pertimbangan kita yang paling utama ialah adakah undang-undang yang akan diperkenalkan ini adil atau sebaliknya?. Adakah ianya baik untuk rakyat dan negara?.

“Atau ia hanya akan memberi kelebihan kepada pihak-pihak tertentu sahaja atas tujuan kepentingan politik semata-mata,” katanya.

Dalam siri libat urus mengenai Rang Undang-Undang ini, beliau telah menyatakan beberapa pandangannya termasuk meminta kerajaan mengkaji semula definisi lompat parti.

“Saya tidak bersetuju seorang Ahli Parlimen yang dipecat dari partinya atau meninggalkan partinya atas apa jua sebab dikira sebagai lompat parti dan perlu mengosongkan kerusinya serta-merta.

“Keempat-empat situasi ini adalah berbeza. Kalau sekiranya undang-undang anti lompat parti terpakai dalam semua keadaan tanpa pengecualian, maka undang-undang yang diperkenalkan ini adalah zalim.

“Maka, pengecualian dan perlindungan tertentu mestilah diberikan kepada mana-mana Ahli Parlimen yang akan terkesan dengan undang-undang ini,” katanya yang memberikan contoh individu yang mempunyai kes di mahkamah dan sudah dijatuhkan hukuman pun masih layak membuat rayuan.

Sedangkan, katanya Ahli Parlimen yang dipecat cuma layak memohon kepada pucuk pimpinan tertinggi parti yang sudah tentunya sukar untuk menarik balik keputusan atau akan membuat keputusan berdasarkan pertimbangan peribadi. – SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here