Bengang dituduh gugur kandungan lima kali

NAMA Dewi Perssik tiba-tiba sahaja panas apabila dituduh melakukan pengguguran kandungan sebanyak lima kali sejak beberapa tahun yang lalu.

Menganggap apa yang diperkatakan netizen tidak berasas sama sekali, dia bagaimanapun menafikan sama sekali perkara berkenaan.

“Saya memang pernah alami keguguran tapi bukan disebabkan saya menggugurkan kandungan. Kalau betul saya pernah lakukan kaedah itu sebanyak lima kali, tunjukkan bukti.

“Saya tak berdiam diri dengan tuduhan seperti ini. Sebab ini juga melibatkan nama baik keluarga saya.

“Kalau saya pernah lakukan pengguguran, tunjukkan siapa doktor dan video rakaman kaedah itu,” katanya mempertahan diri.

Jelasnya, dia pernah melalui episod keguguran ketika masih bergelar isteri kepada Saipul Jamil namun tuduhan lain yang dilemparkan tidak dapat diterima sama sekali.

Apa yang diperkatakan netizen amat mendukacitakan memandangkan ia turut sama melibatkan maruah keluarganya.

“Jangan datang bawa saksi contohnya orang. Mereka boleh sahaja buat tuduhan. Datang kena bawa rakaman sekali.

“Kalau boleh bawa doktor sekali yang menjalankan perkara berkenaan. Sudah pasti ia dilalukan di hospital bukan, bawa buktinya sekali,” tegas Dewi Perssik lagi. – SB