SEORANG daripada empat penyelam warga asing yang dilaporkan hilang ketika selaman di Pulau Tokong Sanggol, Mersing semalam ditemui selamat.
Warga Norway, Kristen Grodem ditemui selamat dan tiba di Stadium Mersing, Johor kira-kira 12.05 tengah hari.
Menurut laporan awal, Grodem, 35, merupakan jurulatih selaman.
Mangsa dibawa menaiki helikopter dari Unit Udara Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) sebelum dihantar ke Hospital Mersing bagi menerima rawatan lanjut.
Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi turut berkongsikan perkara itu dalam Facebook beliau.
“Syukur Alhamdulillah. Mangsa pertama Kristin Groedem sudah dijumpai.
“Sama-sama kita doakan agar usaha untuk mencari mangsa-mangsa lain dipermudahkan,” kata Onn Hafiz.
Terdahulu, Onn Hafiz meninjau PHC bagi mengetahui status situasi terkini Op Carilamat empat penyelam warga asing itu.
Pada operasi itu, seramai 90 anggota dan pegawai dari pelbagai agensi termasuk 30 penyelam berserta 18 bot dan dua helikopter telah digerakkan.
Pencarian yang masuk hari kedua, meliputi kawasan seluas 107 batu nautika radius.
Pada kejadian tengah hari semalam, mangsa terdiri daripada Grodem yang merupakan jurulatih selam warganegara Norway; Alexia Alexandra, 18, (Perancis); Adrian Peter, 46, (British) dan anaknya, Nathen Renze, 14, (Belanda) didapati hilang ketika membuat latihan selaman di pulau berkenaan, kira-kira sembilan batu nautika dari Tanjung Leman. – SB
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.