Alyah perjelas sebab ‘potong usus’ 

PEMBEDAHAN membuang sebahagian usus atau dipanggil bariatrik sering kali dijadikan jalan terakhir oleh kebanyakan individu untuk kurus terutama daripada mereka yang mempunyai saiz tubuh badan yang besar.

Penyanyi Datin Alyah mengejutkan umum apabila melakukan pembedahan tersebut meskipun umum mengetahui dia bukanlah dalam kategori mempunyai masalah berat badan berlebihan.

Menjelaskan perkara berkenaan, kata Alyah dia melakukan perkara tersebut kerana menghadapi masalah gastrik yang serius sehingga membuatkan berat badannya naik sebanyak 18 kilogram.

“Bila ada masalah gastrik, saya sentiasa makan tidak tentu masa dan kerap. Bila berat badan naik, saya rasa sukar untuk bergerak, solat dan tidak selesa ketika menyanyi.

“Pembedahan itu bukan sahaja mengatasi masalah gastrik, tetapi juga mengurangkan risiko saya mengalami masalah kesihatan lain seperti kencing manis, darah tinggi atau kolestrol pada masa akan datang,” jelasnya.

Pun begitu, sebenarnya masih ada yang skeptikal dengan individu yang melakukan pembedahan sebegini dan menganggap mereka melakukan sebagai jalan pintas untuk kurus.

Bagi isteri kepada maestro muzik, Datuk Ramli MS ini, dia melakukan perkara tersebut atas dasar menjaga kesihatan agar tidak timbul sebarang masalah di kemudian hari.

“Saya mahu tegaskan yang perkara ini dilakukan atas sebab kesihatan dan bukannya untuk cantik semata-mata. 

“Bila kita sihat, secara automatik kita akan cantik, bukan sahaja luaran, tetapi juga dalaman,” jelasnya yang turut berkongsi video sepanjang perjalanan untuk melakukan pembedahan tersebut dalam Instagram miliknya. – SB