MENJADI antara penyanyi paling berpengaruh di Malaysia, nama Datuk Siti Nurhaliza sekali lagi trending di Twitter apabila tersenarai dalam katagori Top 100 Most Awarded Musician Of All-Time sejak semalam.
Dia yang disenaraikan oleh The Artis Museum berada di kedudukan ke-27 bersama barisan selebriti dunia popular yang lain.
Sepanjang penglibatan dalam bidang seni, Siti telah menerima 329 anugerah dan menjadi satu-satunya penyanyi Asia Tenggara yang menempatkan diri dalam senarai berkenaan.

Dia juga meninggalkan beberapa penyanyi besar lain di belakang termasuklah Celine Dion yang mana menerima 296 anugerah, One Direction (253) dan Jennifer Lopez (232).
Berada pada kedudukan teratas pula adalah penyanyi Michael Jackson dengan 1003 anugerah, Beyonce (896), Taylor Swift (867), BTS (784) dan Justin Bieber (720).
Sepanjang penglibatan dalam bidang seni, nama Siti Nurhaliza pernah tersenarai dalam Malaysia Book Of Records pada 2001 sebagai artis paling banyak memenangi anugerah.
Dia memiliki 42 anugerah Anugerah Industri Muzik (AIM), 25 anugerah Anugerah Bintang Popular (ABP), 28 anugerah di Anugerah Planet Muzik(APM) dan 20 anugerah di Anugerah Juara Lagu (AJL).
Penyanyi yang popular dengan lagu Cindai ini turut memenangi beberapa anugerah antarabangsa yang lain seperti MTV Awards dan beberapa anugerah dari negara serantau yang lain. – SB
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.