ANGKA kematian akibat Covid-19 dalam tempoh 24 jam semalam (Selasa, 5 April) meningkat sedikit kepada 33 kes, berbanding 28 yang dilaporkan pada Isnin, menurut Kementerian Kesihatan (KKM), hari ini.
Sepuluh daripada jumlah kematian itu membabitkan pesakit meninggal dunia di luar fasiliti kesihatan, sebelum mayat mangsa dibawa ke hospital atau kes ‘brought in death’ (BID).
Bagaimanapun, tiada maklumat sama ada 10 kes BID semalam turut membabitkan kalangan 167,130 pesakit yang menjalani kuarantin di rumah kerana jangkitan tahap rendah yang tidak memerlukan rawatan intensif.
Jumlah kematian semalam menjadikan kumulatif keseluruhan sejak Mac 2020 lalu meningkat kepada 35,160 kes, termasuk 7,425 kes BID, menurut data laman sesawang CovidNOW yang dikemas kini jam 6.30 pagi tadi.
Berdasarkan data itu, Selangor merekodkan jumlah pesakit meninggal dunia tertinggi semalam, berbanding negeri-negeri lain dengan lapan kematian dilaporkan, menjadikan kumulatif sebanyak 10,559 kes.
Data kematian mengikut kumpulan umur di Selangor minggu lepas menunjukkan, 16 kes membabitkan pesakit berusia 80 tahun dan ke atas, diikuti 13 kes (70-79 tahun); 60-69 tahun (sembilan); 40-49 tahun (lapan); masing-masing tiga kes bagi usia 50-59, dan 30-39 tahun; dan masing-masing satu kes berusia 12-17, serta 0-4 tahun.
Bagi negeri-negeri lain, Perak merekodkan enam kes kematian semalam, diikuti Kedah (empat); Sarawak (tiga); masing-masing dua di Johor, Kelantan, Negeri Sembilan, Pahang, serta Perlis; dan masing-masing satu di Pulau Pinang serta Kuala Lumpur.
Tiada kes kematian dilaporkan di Melaka, Sabah, Terengganu, Labuan dan Putrajaya.
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.