GELAGAT pelik seorang lelaki mencuri wayar pam angin di sebuah stesen minyak tertangkap apabila aktivitinya dirakam oleh kamera litar tertutup (CCTV) stesen minyak berkenaan.
Malah, rakaman video kejadian yang dipercayai berlaku di Stesen Minyak Caltex, Wakaf Che Yeh pada awal pagi Ahad itu dimuat naik ke media sosial sehingga mendapat perhatian netizen dan tular pada Selasa.
Menerusi video tular berdurasi 1 minit 37 saat itu memaparkan seorang lelaki berbaju putih dan bertopi merah keluar daripada kereta jenis Proton Saga yang diparkir bersebelahan pam angin sebelum menarik wayar pam angin berkenaan.
Lelaki berkenaan turut dilihat sedang menekan-nekan butang pada pam angin dan membongkok seolah-olah seperti sedang mengepam angin ke tayar keretanya.
Ketika lelaki itu sedang menggulung wayar berkenaan, pintu kereta di sebelah penumpang dibuka oleh seorang lagi individu, sebelum lelaki terbabit memotong wayar pam angin tersebut dan memasukkannya ke dalam kereta.
Video tular itu membangkitkan pelbagai reaksi daripada netizen apabila antara mereka merasa lucu dengan gelagat lelaki berkenaan, manakala sebilangan mereka lagi berang dengan kejadian terbabit.
“Berapa punya papa kedana la kau ni mat, itu pun nak rembat, sedih dan lemah,” tulis Faz Uni di ruangan komen.
“Terang nombor pendaftaran kereta tu…. Lawak bulan puasa,” ulas Nizam Johan.
“Dia suruh orang depan buka pintu biar tiada yang nampak masa dia potong paip tu. Tapi dia tak sedar CCTV duduk di atas bukan bawah…,” kata pengguna Facebook Fatima Snduro. –SB
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.