Hattan gembira tiket konsert hari kedua sold out

0
745

KALAU sudah namanya artis berpengaruh, buat apa sahaja pasti mendapat respons daripada penggemar. Begitu juga dengan penangan Datuk Hattan yang baru sahaja mengumumkan mengadakan konsert selama dua malam Jun nanti.

Tiket untuk menyaksikan konsert pada 5 Jun sudah habis dijual sebaik sahaja pengumuman dibuat dan yang tinggal hanyalah pada 4 Jun. 

Bagi penyanyi yang popular dengan lagu Bisa Bonar ini, dia bersyukur dengan sambutan hangat peminat yang teruja untuk menyaksikan persembahannya sempena konsert solo tersebut.

“Alhamdulilah, saya bersyukur kepada Allah apabila melihat maklum balas yang diberikan peminat terhadap konsert ini. Sampai sold out hari kedua sebaik sahaja kita adakan sidang media.

“Ini merupakan petanda yang aktiviti seni kita semakin rancak selepas beberapa tahun vakum. Apa yang penting kita masih perlu menjaga SOP (prosuder operasi standard) dan menjaga diri,” kata Hattan.

Memilih tema Hattan- 35 Years Journey, konsert yang diadakan pada 4 dan 5 Jun 2022 di Plenary Hall, Kuala Lumpur Convention Centre dianjurkan oleh Mewah Event Management (MEM).

Ini juga merupakan konsert solo Hattan terbesar dalam kerjaya nyanyiannya sejak 1987 selain menyambut ulang tahun ke-35 penglibatannya dalam bidang seni.

Dia bakal mempersembahkan 22 lagu termasuk lagu hits seperti Memburu Rindu, Dari Kekasih Kepada Kekasih, Rendang Tak Berbuah, Mahligai Syahdu, Meniti Perjalanan, Berikan Nurbisa, Biso Bonar, Sambar Apa Saja, Gadis Jolobu dan banyak lagi.

“Ini bukan sekadar konsert saja, tetapi mengandungi penceritaan. Dari segi kerjaya itu berkembang, bagaimana lagu ini tercipta dan kenapa lirik itu terjadi. Ia akan saya ceritakan sepanjang konsert itu nanti. 

“Saya memiliki puluhan lagu hits dan kebanyakannya akan saya nyanyikan nanti, namun ada juga akan disampaikan secara medley. Tapi untuk lagu yang betul-betul popular sudah pasti saya menyanyikan keseluruhannya,” jelasnya lagi.

Tambahnya lagi, dia bersama penganjur sebenarnya sudah merancang konsert ini dua tahun lalu namun tergendala akibat penularan Covid-19 dan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada Februari 2020.

Percaya rezekinya masih ada, mereka bersyukur kerana akhirnya dapat melaksanakan apa yang dicita-citakan meskipun terpaksa menunggu selama dua tahun.

Menambah tarikan, Hattan atau nama sebenarnya Mohd Shukri Sahabudin mahu mengadakan segmen khas untuk Datuk M Nasir yang juga banyak mencipta lagu dendangannya sebelum ini.

Ia berdasarkan album solo kelimanya, Mentor yang diterbitkan pada 1994 di mana Hattan merakamkan semula lagu-lagu popular nyanyian dan ciptaan M Nasir seperti Kepadamu Kekasih, Sekuntum Mawar Merah, Gerhana, Tiara dan Padang Lalang.

“Album itu adalah idea saya di mana saya rakamkan semula lagu-lagu M Nasir yang saya suka. Beliau banyak memainkan peranan terhadap perkembangan karier saya dari dulu hingga sekarang,” katanya.

Menariknya, barisan pemuzik yang akan terlibat sama terdiri daripada mereka yang berpengalaman luas di bawah pimpinan Pengarah Muzik, Rozario.

Selain itu yang bakal terlibat sama, Nan (gitar), Ritz (gitar), Ujang (dram), Fly (bass), Firdaus (keyboard) dan Pa’ang (perkusi) selain kemunculan istimewa pemain seruling, Mohar.

Tiket-tiket untuk menyaksikan konsert ini boleh dibeli melalui laman web https://ilassotickets.com/event/hattan-35-years-journey/ dengan harga RM188 (upper tier), RM388 (silver), RM488 (gold), RM788 (diamond) dan RM988 (platinum). – SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here