Siapa boleh halang kemaraan kluster mahkamah kembali ke Putrajaya? 

0
484

SETELAH pembangkang mengalami kekalahan teruk dalam dua Pilihan Raya Negeri (PRN) di Melaka dan Johor, persoalan timbul mengenai keupayaan pemimpin-pemimpin Melayu dalam menghentikan gelombang kebangkitan kumpulan kluster mahkamah yang diketuai oleh Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Barisan pembangkang ketika ini sedang berpecah dan tidak mampu menyediakan satu kekuatan ampuh bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Sementara Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim terbukti sanggup bekerjasama dengan kluster mahkamah ketika cuba menggulingkan bekas perdana menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 2020.

Kluster mahkamah merujuk kepada sekumpulan pemimpin Umno yang sedang didakwa atau sudah dijatuhi hukuman oleh mahkamah ekoran beberapa kesalahan dan dakwaan.

Najib yang juga ahli Parlimen Pekan dijatuhi hukuman penjara 12 tahun dan denda RM200 juta berhubung kes SRC International dan sedang memohon rayuan di peringkat Mahkamah Persekutuan.

Zahid pula berdepan 47 pertuduhan rasuah dan salah guna kuasa membabitkan dana Yayasan Akal Budi.

Memetik laporan MalaysiaNow, portal itu pernah melaporkan perbualan telefon antara Anwar dan Zahid semasa Pemilihan Agung Umno 2020.

Selain itu, MalaysiaNow turut mendedahkan surat Zahid dan Najib kepada Istana Negara yang menyokong Anwar menjadi perdana menteri bagi menggulingkan Muhyiddin.

Manakala Warisan di bawah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal baru-baru ini mendedahkan kesanggupan untuk bekerjasama dengan Barisan Nasional (BN), yang kini dikuasai Zahid dan Najib.

Penganalisis politik, Mazlan Ali dari Universiti Teknologi Malaysia berkata harapan menjatuhkan BN dan kluster mahkamah tidaklah padam sepenuhnya walaupun dengan dua kekalahan sebelum ini.

Kalau kita lihat, hanya Tun Dr Mahathir Mohamad sahaja yang tidak kuat, berbeza dengan Muhyiddin Yassin.

“Kalau pembangkang semua bergabung, Umno memang boleh kalah,” katanya.

Mazlan berkata, kekuatan Umno terletak kepada kepada sikap kelesuan politik rakyat yang mengakibatkan mereka tidak mahu turun mengundi di Johor dan Melaka.

“Umno ni pun tak kuat, hanya 35% sahaja daripada jumlah sokongan.”

Mahathir yang juga pengerusi Pejuang menurut Mazlan berdepan cabaran dengan ketidakpercayaan pemimpin Pakatan Harapan (PH) susulan perletakan jawatannya pada 2020.

Katanya, Muhyiddin masih mempunyai wibawa walaupun masih belum mampu menyaingi Umno.

Ismail Sabri sebagai pilihan?

Penganalisis politik dari USM, Prof Dr Ahmad Atory Hussain berkata, sekiranya kemenangan di Johor dan Melaka menjadi ukuran, PRU15 akan dimenangi oleh BN.

Alternatif kepada kluster mahkamah sudah tentu akan pergi kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri, Timbalan Presiden Umno, Datuk Seri Mohamad Hassan atau Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein.

“Manakala Perikatan Nasional (PN) dan Pejuang boleh menjadi saingan kpd BN sahaja, tetapi sukar untuk menang dan mentadbir kerana ketiadaan persepaduan jitu seperti pada PRU14 lepas,” katanya kepada MalaysiaNow.

Bagaimanapun pada ketika ini, Ismail, Mohamad dan Hishammuddin tidak menguasai Umno dan BN, menyukarkan mereka untuk dijadikan sebagai alternatif.

Menurut Atory, PN dan Pejuang yang membawa mesej integriti dan membanteras rasuah tidak mampu meyakinkan orang Melayu yang sememangnya tidak mengambil berat dengan isu-isu tersebut.

Namun sama ada situasi itu masih kekal pada PRU15 masih belum diketahui, ekoran penggubalan Akta Anti Lompat Parti di Parlimen.

“Pengundi merasakan, buat apa mengundi kalau akhirnya melompat? Tapi kita tengok di Parlimen kelak, mungkin masa itu orang kembali berminat (turun mengundi),” katanya.

Atory berkata, memandangkan sistem politik berparti di negara ini dipengaruhi kuat oleh Umno dan kluster mahkamah, sukar untuk parti bukan BN menjatuhkan mereka.

Katanya, kekuatan kluster mahkamah disokong oleh hampir keseluruhan ketua-ketua bahagian dan cawangan.

“Mereka punya strategi dan taktik tipu helah yang ampuh selain dana yang sangat banyak.

“Ini sukar ditandingi parti-parti lain pada PRU15. Ketiga-tiga pemimpin yang dicadangkan itu akan membuat jajaran baru,” katanya.

Sebelum ini, penganalisis menjangkakan Ismail akan mencabar Zahid pada pemilihan Umno yang perlu dilangsungkan sebelum Disember tahun ini.

Manakala Mohamad dilihat sebagai sekutu kepada Zahid dan Najib.

Sehubungan itu, tarikh pilihan raya sebelum atau selepas pemilihan menjadi perdebatan pada Perhimpunan Agung Umno yang lepas.

Sementara itu, felo kanan dari Singapore Institute of International Affairs, Oh Ei Sun berkata, naiknya Muhyiddin dan Ismail sebagai perdana menteri memberi harapan kepada pemimpin senior dari parti-parti lain yang kini mula mengharap kepada jawatan itu.

Namun katanya sukar untuk mencari pemimpin yang berminda progresif atau reformis untuk melawan kluster mahkamah.

“Saya tak fikir kita sedang melihat pemimpin progresif atau reformis.

“Ini kerana keadaan sosioekonomi negara tidak begitu baik. Tarikan utama kluster, seperti yang kita lihat daripada kempen ‘Bossku’ ialah dalam waktu-waktu sukar, kami (pemimpin kluster mahkamah) akan menjaga anda dan memberi bantuan. Anda tidak perlu risau,” katanya.

Oh berkata, pemimpin yang berpotensi menggantikan kluster mahkamah mesti mempunyai tarikan yang sama.

Bahkan, janji-janji reformis dan progresif tidak cukup untuk memenangi hati pengundi.

Menurutnya, janji-janji seperti itu bersifat jangka panjang.

“Rakyat tidak boleh tunggu lama, mereka mahu anda menjaga mereka dalam jangka masa pendek,” katanya.

Dalam Umno, katanya Hishammuddin dan Khairy Jamaluddin antara tokoh alternatif yang boleh dipertimbangkan namun kedua-dua mereka juga belum mengasah daya tarikan seperti kluster mahkamah.

“Hishammuddin juga tidak dikenali dengan polisi yang baik. Khairy berjaya menjadikan dirinya teknokratik sebagai pejuang menentang Covid-19 tetapi mengenai sara hidup, tidak ada. Dari satu sudut, sukar untuk menghalang kluster mahkamah kerana keadaan sosioekonomi negara ini,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here