Polis tolak unsur culik kanak-kanak perempuan

0
450

SIASATAN awal polis berhubung kehilangan Sofia Raniya yang ditemukan semula dalam keadan selamat malam tadi, mendapati kanak-kanak berusia lapan tahun itu tersalah menaiki bas ketika pulang dari sekolah petang semalam.

Berikutan itu, polis menolak kemungkinan terdapat unsur culik berhubung kes itu dan sehingga kini polis tidak menerima sebarang laporan culik melibatkan kanak-kanak berkenaan.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Azmi Abu Kassim berkata berdasarkan keterangan pengawal keselamatan Sekolah Kebangsaan Taman Midah 1, Cheras, kanak-kanak itu dikatakan mengikut kawan-kawannya menaiki bas.

“Kanak-kanak itu ditemukan di sebuah pondok pengawal keselamatan sebuah kondominium di Cheras,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Kempen Derma Darah sempena Peringatan Hari Polis Ke-215 Kontinjen Kuala Lumpur di Ibu Pejabat Polis Kontijen Kuala Lumpur, hari ini.

Azmi berkata polis memandang serius akan perkara itu dan berharap terdapat inisiatif pihak terlibat untuk memastikan kejadian seumpama itu tidak berulang, antaranya meletakkan tanda khas di van sekolah bagi memastikan murid tidak keliru.

“Mungkin ada kekeliruan berlaku khususnya anak-anak yang baru pertama kali naik bas. Jadi mungkin disebabkan kekhilafan ini, perkara seperti semalam berlaku ke atas kanak-kanak itu,” katanya.

Semalam, tular di media sosial mengenai kehilangan Sofia Raniya yang juga pelajar Sekolah Kebangsaan Taman Midah 1, Cheras, selepas ibunya tidak menemukan kanak-kanak itu di sekolah semasa mahu mengambilnya.

Kanak-kanak itu ditemukan selamat malam tadi di Bandar Tun Razak di Cheras dan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Cheras.- BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here