MENTERI Kesihatan, Khairy Jamaluddin akan menjawab isu berkenaan data aplikasi MySejahtera dalam sidang Dewan Negara petang ini.
Khairy menerusi ciapan di akaun Twitter beliau berkata, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sentiasa mengambil berat berkenaan isu tersebut.
“KKM sentiasa mengambil berat isu kerahsiaan data peribadi dan tadbir urus perolehan yang telus.
“Oleh kerana Dewan Negara masih bersidang, saya akan menjawab beberapa isu berkaitan dengan MySejahtera petang nanti.
“Saya juga akan memberi keterangan kepada Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) kelak,” kata beliau hari ini.
Terdahulu, Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam kenyataan medianya semalam mahu kerajaan memberi penjelasan berhubung keputusan menjual aplikasi MySejahtera kepada syarikat swasta berbanding membenarkan aplikasi itu berada di bawah kawal selia KKM.
Beliau turut mempersoalkan tindakan kerajaan tidak menjual aplikasi itu secara tender terbuka, selain mahu alasan diberikan di sebalik pemilihan MySJ Sdn Bhd menjadi satu-satunya syarikat yang ditimbangtara bagi tujuan itu.
Beliau yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH), berkata penjualan aplikasi terbabit kepada syarikat swasta hanya menimbulkan kebimbangan tentang pengurusan data peribadi dan kemungkinan wujudnya penyalahgunaan maklumat kesihatan jutaan rakyat Malaysia. – SB
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.