Kanak-kanak hilang, ibu nafi Sofia Raniya tersilap naik van

0
359

SEORANG kanak-kanak perempuan berusia lapan tahun yang tular di media sosial kerana dipercayai hilang dari sekolah di sini petang semalam ditemui selamat.

Perkara itu disahkan Ketua Polis Daerah Cheras Asisten Komisioner Muhammad Idzam Jaafar ketika dihubungi Bernama, malam tadi.

Muhammad Idzam berkata kanak-kanak itu ditemui di Bandar Tun Razak, Cheras, di Kuala Lumpur.

“Ketika ini, anggota Ibu Pejabat Polis Daerah Cheras sedang mengambil keterangan ibu kanak-kanak itu,” katanya.

Terdahulu, tular di media sosial mengenai kehilangan Sofia Raniya yang merupakan pelajar Sekolah Kebangsaan Taman Midah 1, Cheras, selepas ibunya tidak menemui kanak-kanak itu di sekolah semasa mahu mengambilnya petang semalam.

Sementara itu, ibu kanak-kanak berkenaan Ryana Mohd Nor, 41, menafikan dakwaan bahawa anaknya tersilap menaiki van sehingga dilaporkan hilang, kerana mereka tidak pernah menggunakan perkhidmatan pengangkutan tersebut untuk ke sekolah.

“Setiap hari saya atau ahli keluarga yang lain akan menghantar dan mengambil anak-anak di sekolah, kami tidak menggunakan perkhidmatan van,” katanya kepada Bernama di sini malam tadi.

Sebaliknya, Ryana mendedahkan anaknya memberitahu dia telah diminta oleh seorang lelaki untuk menaiki sebuah van, sebelum kemudian meninggalkannya di lobi sebuah pangsapuri.

Ryana berkata, beliau menerima panggilan daripada pihak polis pada 9.30 malam tadi memberitahu anak perempuannya telah ditemui dalam keadaan selamat.

“Saya difahamkan polis menerima panggilan telefon daripada seorang penduduk di pangsapuri berkenaan, melaporkan mengenai seorang kanak-kanak yang ditinggalkan seorang diri di lobi pangsapuri berkenaan,” katanya.

Beliau turut berterima kasih kepada polis serta semua pihak yang membantu menghebahkan kehilangan anaknya itu, sehingga berjaya ditemui dalam keadaan selamat.

— BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here