[VIDEO] Gagal ke Piala Dunia 2022, penyokong Nigeria mengamuk

BERANG dengan keputusan yang menyaksikan pasukan bola sepak kebangsaan Nigeria gagal melayakkan diri ke Piala Dunia 2022, penyokong bertindak untuk merusuh dan menceroboh ke padang Stadium Nasional Moshood Abiola selepas perlawanan menentang Ghana, awal pagi tadi.

Rusuhan itu berlaku sebaik sahaja selepas wisel penamat perlawanan yang menyaksikan Nigeria diikat 1-1 oleh Ghana sekaligus menguburkan harapan pasukan dan penyokong untuk ke Piala Dunia 2022 di Qatar, menerusi peraturan gol di tempat lawan.

Penyokong tuan rumah pada awalnya membaling objek ke arah penyokong dan pemain Ghana yang sedang menyambut kemenangan mereka sebelum bertindak menceroboh ke padang stadium.

Mereka bertindak menghalau pemain-pemain Ghana hingga memaksa polis melepaskan gas pemedih mata.

Selepas menyerang pemain Black Stars yang sedang meraikan kemenangan, mereka kemudian melakukan kerosakan ke atas kemudahan di stadium.

Sebagai rekod, ini merupakan kegagalan Nigeria buat kali pertama untuk mara ke Piala Dunia sejak tahun 2006, manakala Ghana melayakkan diri mereka buat kali keempat. –SB