Berdepan hukuman mati, Yasin mengaku tidak bersalah miliki, tanam ganja

BEKAS penyanyi nashid dan komposer yang didakwa memiliki dan menanam pokok ganja di rumahnya mengaku tidak bersalah atas pertuduhan itu di Mahkamah Petaling Jaya, pada Khamis.

Yasin Sulaiman, 47 yang didakwa di Mahkamah Sesyen dan Majistret, membuat pengakuan itu ketika pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Norshila Kamaruddin.

Dalam prosiding pertuduhan hari ini, Yasin dituduh mengikut Seksyen 6B (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 6B (3) akta yang sama.

Menurut pertuduhan pertama, Yasin telah didapati menanam 17 pokok dalam pasu plastik berisi tanah yang mana daripadanya kanabis boleh diperolehi secara terus atau tidak langsung di kediamannya, Casa Indah Kondominium, Kota Damansara pada 24 Mac lalu.

Tertuduh bakal berhadapan hukuman penjara seumur hidup dan sebat tidak kurang daripada enam sebatan jika disabitkan kesalahan bagi pertuduhan itu.

Pertuduhan kedua iaitu Seksyen 39B (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum dibawah Seksyen 39B (2) akta sama.

Yasin didapati telah mengedar dadah berbahaya jenis ganja anggaran berat 214 gram yang ditemui di kondominium sama.

Jika disabitkan kesalahan tertuduh boleh dijatuh hukuman mati atau penjara seumur hidup dan tidak kurang dari 15 sebatan.

Sebelum ini pada Khamis lalu, tertuduh ditahan oleh pihak polis bersama 17 pasu pokok ganja yang dipercayai ditanam sejak dua bulan lalu dalam serbuan di kediamannya di sebuah kondominium di Kota Damansara, Petaling Jaya.

Polis turut merampas ketulan mampat ganja seberat 214 gram.

Hasil ujian saringan air kencing terhadap artis itu didapati positif dadah jenis THC (ganja).