[VIDEO] MPP UiTM gesa tindakan terhadap pensyarah didakwa hina B40

MAJLIS Perwakilan Pelajar (MPP) Universiti Teknologi Mara (UiTM) menyelar tindakan seorang pensyarah yang menghina seorang pelajar hanya kerana menghadiri kelas atas talian dengan menggunakan telefon pintar, dan tular di media sosial sejak lewat malam Selasa.

Video pensyarah berkenaan mula tersebar apabila seorang pengguna memuat naik rakaman video kelas atas talian yang memaparkan pensyarah wanita itu memarahi pelajarnya gara-gara tidak memiliki komputer.

Yang Dipertua MPP UiTM, Rasydan Mohd Hassan berkata, kenyataan yang dikeluarkan oleh pensyarah itu adalah satu tindakan luar norma dan tidak beretika terhadap seorang mahasiswa.

“Sejarah UiTM ini juga dibina atas dasar untuk membantu lebih ramai mahasiswa Melayu dan Bumiputera untuk mendapatkan pendidikan di peringkat tertinggi.

“Kenyataan menghina dan memperlekehkan golongan B40 adalah tidak wajar dibuat oleh mana-mana pihak,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Susulan itu katanya, seluruh ahli MPP UiTM mendesak pengurusan tertinggi universiti untuk melakukan siasatan dan mengambil tindakan yang wajar dan selayaknya kerana tindakan pensyarah berkenaan telah merosakkan imej universiti itu.

Menurut Rasydan, pensyarah berkenaan sepatutnya lebih peka dan memahami keadaan ekonomi rakyat Malaysia yang terjejas ekoran situasi pandemik yang melanda negara sejak dua tahun lalu.

“Manifestasi yang sering disuarakan oleh pihak pengurusan universiti bahawa mahasiswa adalah tonggak universiti perlulah dizahirkan dengan mengambil tindakan tegas kepada pensyarah tersebut dan juga kepada mana-mana individu yang membuat tindakan sama selepas ini,” ujarnya.

Menerusi klip video berdurasi 1 minit 40 saat itu, pensyarah berkenaan secara tiba-tiba memarahi pelajar yang sedang menjawab soalannya kerana menggunakan telefon bimbit untuk menghadiri kelas atas talian.

Rakaman yang dikongsikan pada 11.43 malam di platform Twitter itu tersebar dengan pantas dan membangkitkan amarah netizen dengan menyifatkan nada dan cara pensyarah itu sebagai menghina dan tidak sensitif.—SB