AUTONOMI yang diberikan kepada Badan Pimpinan Bersatu Sabah dilihat telah digunakan sebaiknya untuk mentadbir dan melaksana usaha terbaik dalam membantu rakyat di negeri ini, kata Ketua Penerangan Bersatu Datuk Wan Saiful Wan Jan.
Beliau berkata dengan kebebasan diberikan itu Badan Pimpinan Bersatu Sabah di bawah Ketua Menteri Datuk Hajiji Noor telah berjaya merencana pelbagai inisiatif dalam memajukan negeri, seterusnya membantu rakyat Sabah.
Katanya fokus Kerajaan Sabah dipimpin Hajiji pada masa ini adalah jelas mengenai kepentingan rakyat dan membangunkan negeri serta ekonomi iaitu sesuatu yang dicemburui negeri lain.
“Mungkin perkataan autonomi itu tidak digunakan secara rasmi, tetapi itulah secara praktiknya kebebasan membuat keputusan yang tepat dan sesuai untuk Sabah, kuasa itu digunakan dengan baik. Saya ucap syabas kerana berjaya menguruskan kepercayaan diberi ini,” katanya di sini malam tadi.
Wan Saiful berkata demikian kepada pemberita pada satu majlis dialog bersama ketua-ketua penerangan bahagian parti itu yang turut dihadiri Ketua Penerangan Bersatu negeri Khairul Firdaus Akhbar Khan.
Sementara itu, Khairul Firdaus ketika berucap pada majlis berkenaan berkata kebebasan Badan Pimpinan Bersatu Sabah untuk merencana hala tuju negeri bersama parti tempatan menerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS), merupakan bukti Bersatu Sabah mempunyai autonomi sebenar berbanding parti peringkat nasional yang lain.
“Bersatu Sabah ini telah bersifat tempatan, bagaikan Bersatu kahwin dengan orang Sabah dapat anak, itulah Bersatu Sabah, jadi kita bebas tentukan corak pentadbiran kita sendiri, tidak seperti parti nasional lain yang punyai kekangan, fokus kita untuk ahli Bersatu dan paling penting majukan Sabah untuk rakyat kita,” katanya.
— BERNAMA
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.